Peguam pertikai Jong-nam diracuni agen VX
Iklan
PEGUAM tertuduh kes bunuh Kim Jong-nam mempertikaikan kenyataan seorang ahli patologi kimia yang menyatakan mangsa diracuni agen saraf VX.
Peguam Gooi Soo Seng yang mewakili Siti Aisyah mendakwa kenyataan Pakar Patologi Kimia di Jabatan Patologi Kimia Kuala Lumpur Norashikin Othman masih tidak mengesahkan bahawa Jong-nam diracuni oleh bahan kimia yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai senjata pembunuhan berskala besar.
“Ahli patologi yang hadir memberikan keterangan di mahkamah pada hari ini masih tidak mengesahkan adakah agen VX penyebab kepada kematian Jong-nam, dia (Norashikin) hanya berikan sampel enzim,” katanya kepada wartawan di luar kamar mahkamah hari ini.
Norasikin merupakan saksi kelima kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara itu.
Dalam keterangannya, beliau berkata tahap enzim Cholinesterase dalam badan mangsa amat rendah berbanding manusia sihat, dan itu konsisten dengan akibat pendedahan kepada agen saraf seperti VX ataupun racun serangga.
Sebaliknya, sampel yang diambil daripada Siti dan Doan Thi Huang adalah normal.
“Tahap Cholinesterase dalam Kim Chol (Jong-nam) adalah 344, amat rendah manakala pembacaan enzim dalam sampel yang diambil daripada Siti Aisyah dan Doan adalah normal,” katanya kepada mahkamah pagi tadi.
Enzim cholinesterase merupakan enzim di dalam anggota badan yang mengawal otot dan koordinasi pergerakan tubuh badan. Kekurangan enzim berkenaan menyebabkan otot dan jantung gagal berfungsi secara normal.
Gooi turut berang kerana hanya mengetahui tahap enzim normal anak guamnya pada hari ini, sesuatu yang patut dikongsi bersama dokumen tahap enzim Jong-nam sebelum ini.
“Pendedahan Norashikin itu mengejutkan kami, bagaimana enzim Jong-nam jatuh di tahap rendah namun enzim Siti dan Doan pada paras normal. Ini bermakna Siti dan Doan tidak terdedah kepada agen saraf berkenaan.
“Kami tidak pernah mendapat bukti (tahap enzim) sebelum ini. Kami terkejut dengan perbuatan pihak pendakwaan. Mereka sepatutnya berkongsi dokumen dan bahan bukti secara adil tidak kira sama ada memberi kelebihan kepada mereka atau tidak. Ini amat penting bagi kami,” katanya.
Sementara itu peguam Doan, Hisham Teh Poh Teik berkata hanya pakar Kimia dari Jabatan Kimia boleh membuktikan sama ada benar-benar ada sumber VX dalam badan Jong-nam.
“Sekarang ini, ia (kehadiran VX) tak dapat dibuktikan,” katanya. – 3 Oktober, 2017.