Iklan

LANGSUNG: Mahkamah diberitahu Jho Low arah bank hantar penyata akaun Najib kepadanya

Bede HongTimothy Achariam5 years ago22nd Jul 2019Berita
Src days 41 220719 tmiseth 01
Joanna Yu Ging Ping adalah pegawai perhubungan pelanggan AmBank yang mengendalikan dua akaun Najib Razak di bank itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Julai, 2019.
Iklan

PEGAWAI perhubungan AmBank untuk akaun peribadi Najib Razak, Joanna Yu Ging Ping akan memberi keterangan hari ini dalam perbicaraan kes SRC International.

Yu, saksi ke-54 pendakwaan, beberapa kali dinamakan pasukan peguam bela Najib yang akan memberi tumpuan kepada hubungannya dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

Peguam bela sebelum ini mencadangkan jurubank bekerjasama dengan orang luar seperti Low untuk memperdaya SRC International dengan bantuan eksekutif kanan bank terlibat.

Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low juga disebut sepanjang perbicaraan minggu lepas dalam keterangan diberikan saksi, seorang pegawai kanan AmBank.

Bekas pengarah urusan Kumpulan AmBank Cheah Tek Kuang berkata beliau bertemu Low di kediaman peribadi Najib di Kuala Lumpur pada awal Januari 2011. Cheah pergi ke rumah Najib untuk membantu bekas perdana menteri itu membuka dua akaun bersama AmBank, beliau dibawa masuk ke rumah itu oleh Low.

Bagaimanapun, Cheah menafikan cadangan pihak pembelaan yang hubungannya dengan Low rapat, memberitahu mahkamah yang beliau tidak sukakan ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu.

“Saya beritahu awak dia jenis macam mana. Dia orang yang tak pernah tepati masa. Jika ada mesyuarat jam 12 tengahari, dia datang jam 1.30 petang,” katanya di mahkamah minggu lepas.

“Saya tak akan kata dia penipu, tetapi perangai sebegini, saya tak suka dan benci. Awak tak boleh rapat dengan orang jenis ini.”

Katanya, Low juga mempengaruhi keputusan untuk tidak meletakkan nama Najib di akaun semasanya berakhir “694”, sebaliknya menggunakan kod nama.

Pertuduhan jenayah ke atas Najib Razak dalam kes SRC International melibatkan pemindahan dana RM42 juta ke dalam akaun peribadinya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Julai, 2019.

Cheah berkata beliau hanya menyedari perkara itu selepas borang permohonan ditandatangani Najib diserahkan kepada Yu.

“Saya dimaklumkan Joanna yang sebab untuk kod nama adalah berdasarkan cadangan oleh Low, yang meminta akaun itu dikendalikan dengan penuh kerahsiaan.”

Cheah juga menafikan mengetahui komunikasi antara Yu dan Low.

Bekas CEO Yayasan 1Malaysia (YR1M) Un Su Ling juga memberi keterangan minggu lepas, di mana beliau menafikan menerima arahan daripada Low ketika memindahkan RM42 juta ke dalam akaun peribadi Najib di AmBank pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Ung berkata arahan pemindahan itu datang daripada Setiausaha Sulit Kanan kepada Najib, Azlin Alis dan wang itu disalurkan menerusi Ihsan Perdana Sdn Bhd, rakan tanggungjawab sosial korporat kepada YR1M dan 1MDB.

Ung juga menafikan cadangan pembelaan yang istilah “kawan kita” digunakan dalam komunikasi teks telefon bimbit dengan Yu sebenarnya merujuk kepada Low.

Pertuduhan jenayah ke atas Najib adalah berkaitan dengan pinjaman berjumlah RM4 bilion dikeluarkan SRC International pada 2011 dan 2012. Beliau didakwa menerima suapan mencecah RM42 juta yang masuk ke dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa. Pemimpin berusia 66 tahun itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun sekiranya sabit kesalahan.

Najib diwakili pasukan peguam bela diketuai Muhammad Shafee Abdullah. Manakala, pihak pendakwaan diterajui Peguam Negara Tommy Thomas, manakala hakim bersidang ialah Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

The Malaysian Insight membawakan siaran langsung prosiding hari ini:

5.10pm: Harvinderjit menamatkan soalannya untuk hari ini kerana Shafee mempunyai hal lain untuk dihadiri di Putrajaya. Prosiding bersambung semula pada 10.30 pagi esok.

4.55pm: Beliau berkata Cheah telah membuat pertanyaan mengenai keberadaan Low. Harvinderjit mencadangkan bahawa seseorang tidak akan bertanya tentang seseorang jika tidak ada rasa suka kepada mereka. Yu mengatakan bahawa ia tidak benar, kerana Cheah bertanya mengenai keberadaan Low kerana masalah wang dan tidak semestinya kerana suka.

Yu juga bersetuju dengan kenyataan Cheah bahawa Low tidak pernah tepat masa.

4.45pm: Harvinderjit mencadangkan bahawa sebelum 1MDB dan juga semasa 1MDB, Low memainkan peranan penting dalam membawa banyak perniagaan kepada AmBank. Joanna setuju.

4.30pm: Yu berkata beliau tidak mengikuti perbicaraan sehingga dia didakwa dipanggil “pegawai bank penyangak”. Ini adalah semasa pemeriksaan balas Uma Devi.

Beliau berkata Cheah, yang sebelum ini mengambil tempat saksi dan menyatakan beliau tidak suka Low, sebenarnya telah bertemu dengan Low untuk makan. Beliau juga mengatakan yang beliau tidak hadir pada pertemuan ini.

4pm: Yu berkata beliau bertemu Sithambaram dua kali sebelum mengambil tempat. Menurutnya beliau menjelaskan kepada Sithambaram beliau hanya berkomunikasi dua kali dengan Nik Faisal dan Jho Low untuk maklumkan mereka mengenai pengeluaran lebih had dalam akaun. Beliau berkata Sithambaram telah memanggilnya pegawai bank penyangak. Yu berkata beliau bukan pegawai bank penyangak kerana beliau bertindak atas arahan bertulis.

3.56pm: Harvinderjit mula menyoal Yu mengenai keterangan saksinya, yang beliau draf dengan bantuan SPRM dan membacanya di mahkamah pagi tadi.

3.39pm: Harvinderjit menyoal kliennya sama ada beliau pernah melihat dokumen atau carta yang dikaitkan dengan akaun itu.

Yu membalas beliau tidak percaya bahawa bank menjemput Najib untuk melihat penyata akaunnya.

3.35pm: Sithambaram:  Kamu mengetahu tentang dakwaan bahawa kamu seorang banker yang tidak dipercayai kerana berkomplot dengan Jho Low yang mengakibatkan tuduhan sekarang terhadap tertuduh?

Yu: Kami tidak melakukan apa-apa, tiada konspirasi. Kami hanya menghubungi mereka apabila akaun Najib lebih pengeluaran.

Sithambaram menghabiskan sesi soal balasnya. Harvinderjit memulakan sesi soal balas.

3.32pm: Sithambaram: Adakah anda diarahkan untuk berkonspirasi dengan Jho Low, menjalankan transaksi penipuan apabila anda menjadi pengurus perhubungan akaun?

Yu: Tidak.

Sithambaram kemudiannya meminta Yu menjawa dakwaan pasukan peguam bela pada awal perbicaraan bahawa beliau adalah banker yang tidak boleh dipercayai.

Harvinderjit membantah. Sithambaram kemudiannya berkata jika peguam bela sanggup menarik semula kenyataan terhadap Yu, kemudian soalan itu akan ditarik semula.  Harvinderjit tidak memberi respon.

3.25pm: Yu berkata 20 buku cek diminta untuk setiap akaun. Dengan empat akaun semasa, jumlahnya adalah 80 buku cek.

3.20pm: Yu memberitahu mahkamah bahawa Jho Low mengarahkan agar menghantar penyata kewangan kepada ‘MNR’, kod nama untuk Najib, sama ada menerusi Nik Faisal atau dirinya sendiri. Yu diarah menghantar penyata kewangan itu kepada Nik Faisal.

Yu berkata arahan itu dikeluarkan selepas mereka diperingatkan oleh Jho Low agar menghantar penyata kredit kad ke pejabat Najib di Putrajaya.

Sithambaram: Adakah arahan ini bertujuan menyembunyikan penyata itu daripada pengetahuan Najib?

Yu: Tidak, saya tidak fikir ia dilakukan untuk itu.

2.46pm: Yu berkata beliau juga merupakan pengurus perhubungan untuk akaun bank SRC International.

Sithambaram: Kenapa kamu dilantik sebagai pengurus perhubungan untuk SRC (International)? 

Yu: SRC (International) merupakan anak syarikat 1MDB, dan kami menguruskan 1MDB.

2.38pm: Mahkamah bersambung dengan Yu memasuki kandang saksi. Beliau memberi keterangan berhubung akaun semasa Najib.

1.00pm: Mahkamah berehat.

12.15pm: Katanya, ada amaran dari Bank Negara Malaysia kerana akaun itu sentiasa mengalami pengeluaran lebih had. Tambahnya, beliau memberitahu Jho Low dan Nik Faisal yang bank mahu menutup akaun itu. Jelasnya, salah satu perbualan antaranya dengan Nik Faisal adalah untuk menggesa Najib menutup akaun tersebut.

12.04pm: Yu berkata sepanjang pengetahuannya, Najib dan Nik Faisal tahu beliau berhubungan dengan Jho Low. Beliau turut mengiyakan yang beliau berusan dengan Jho Low dan Nik Faisal. Beliau mendapat maklumat daripada Jho Low yang “Datuk Seri” akan tandatangan dokumen atau berinya arahan untuk dilaksanakan. “Datuk Seri” merujuk kepada Najib.

Pada pendapatnya, Najib sedar tentang tindakan Jho Low.

11.59am: Sithambaram: Jadi, bila awak tak dapat hubungi Najib atau Nik Faisal, mengapa tak biarkan begitu sahaja (tidak ambil tindakan)?

Yu: Kami tak urus akaun semasa. Dia adalah perdana menteri Malaysia; kami tak boleh pulangkan cek tendang kepadanya. Jika perdana menteri keluarkan cek, dia patut ada duit cukup (dalam akaun). Kami tak mahu keluar berita yang perdana menteri tak cukup duit.

Jelasnya, prosedur biasa adalah cek akan dipulangkan kepada pengeluar jika tidak cukup duit dalam akaun berkenaan.

11.54am: Yu berkata, jika diteliti komunikasinya dengan Jho Low, kebanyakannya adalah berkenaan pengeluaran lebih had dalam akaun Najib.

Beliau ditanya mengapa beliau tidak menghubungi Najib jika tidak dapat berhubungan dengan Nik Faisal.

Balasnya, beliau tidak ada nombor terus Najib dan hanya mengikut surat mandat diterimanya.

11.44am: Mahkamah kembali bersidang dengan Sithambaram meneruskan sesi soal balas.

Yu berkata beliau tidak pernah melaksanakan arahan Jho Low tanpa arahan bertulis daripada Nik Faisal selaku pemegang mandat.

11.18am: Mahkamah berehat 10 minit.

10.58am: Dalam mesej BBM antara Yu dan Low pada Mei 2015, Low bertanya jika pengeluaran lebih had berlaku ke atas akaun tersebut: “Tolong periksa jika akaun pengeluaran terlebih had, bos mahu tulis cek besar.”

Cek itu berjumlah RM10 juta, mahkamah dimaklumkan.

10.51am: Sithambaram bertanya, apakah yang menyebabkan Yu percaya Low adalah fasilitator akaun Najib?

Yu: Ada ketikanya saya beritahu dia ada pengeluaran terlebih had, dan saya tak dapat hubungi Nik Faisal. Dia akan aturkan supaya bayaran dibuat. Dia boleh tolong.

Jelasnya lagi, komunikasi dengan Low dibuat menerusi BlackBerry Messenger. Katanya, Low selalu menyelesaikan isu pengeluaran terlebih had, tetapi bank tidak pernah mendapat arahan bertulis daripadanya.

10.50am: Sithambaram: Mengapa awak berurusan dengan Jho Low jika dia bukan pemegang mandat?

Yu: Low bukan pemegang mandat yang memberikan arahan bertulis kepada kami. (Tetapi) dia adalah fasilitator ketika akaun dibuka. Dia adalah orang penghubung sebelum mandat diberikan kepada Nik Faisal. Banyak kali, dia akan hantar mesej kata Najib sedang tulis cek, dan dia perlu tahu jika akaun terlebih had pengeluaran.

10.46am: Yu berkata mengingatkan Nik Faisal untuk memberikan arahan pembayaran adalah “biasa” dan jika beliau dapat dihubungi, bank akan mendapatkan arahan itu daripadanya. Jika beliau tidak dapat dihubungi, arahan itu sukar diperolehi dan bank berdepan masalah.

Katanya, “situasi pengeluaran lebih had” selalu berlaku kerana wang sangat diperlukan, sama ada untuk akaun atau kad kredit berkaitan.

Beliau memberitahu mahkamah yang beliau juga menghubungi Low berkaitan akaun Najib.

Akaun bank dan kad kredit Najib Razak selalu berdepan masalah terlebih pengeluaran, kata jurubank AmBank. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Julai, 2019.

10.42am: Beliau membacakan transkrip perbualannya dengan Nik Faisal. Kebanyakan perbualan adalah peringatan supaya memberikan arahan pembayaran kerana pengeluaran terlebih had.

Katanya, Nik Faisal memintanya mencari jalan menyelesaikan isu itu.

10.39am: Yu meneliti komunikasinya dengan Nik Faisal menerusi BlackBerry. Jelasnya, secara umumnya, komunikasinya dengan Nik Faisal adalah mengenai akaun tersebut, dan kebanyakannya adalah untuk mengingatkannya bahawa akaun terbabit terlebih had pengeluaran.

10.37am: Sithambaram memberitahu Yu yang mereka “akan bercakap tentang Jho nanti” kerana sekarang mereka sedang bercakap tentang Nik Faisal.

10.34am: Katanya, beliau berhubung dengan Nik Faisal sekiranya ada isu berkaitan akaun itu, dan jika Nik Faisal tidak dapat dihubungi, beliau akan menghubungi Low.

Tambahnya, hanya pemegang mandat, iaitu Nik Faisal, diberikan kuasa untuk memberikan arahan bertulis berkaitan akaun itu. Katanya, bank hanya akan menghubungi Nik Faisal jika akaun itu terlebih pengeluaran.

10.31am: Jelas Yu lagi, Najib adalah penandatangan tunggal untuk pengeluaran cek daripada akaun semasa. Katanya, pemegang mandat tidak dibenarkan mengeluarkan wang daripada mana-mana akaun.

Hanya bank dibenarkan melakukan transaksi perbankan antara cawangan, katanya, menambah yang tugasnya adalah menjadi penghubung antara pelanggan dan cawangan jika pelanggan memerlukan penyata dan maklumat akaun.

10.30am: Sithambaram: Ada kemungkinan untuk Nik Faisal keluarkan cek bagi pihak Najib?

Yu: Tidak, dia tak boleh.

Sithambaram: Adakah awak tahu jika dia ada keluarkan cek bagi pihak Najib? Ada sesiapa yang bertanya kepada awak mengenainya.

Yu: Tidak. Tidak.

10.16am: Yu ditanya sama ada beliau ada akses kepada akaun Najib menerusi komputernya. Jelasnya, beliau tidak ada akses dan perlu mendapat kebenaran bahagian lain untuk melakukannya.

Katanya, beliau bertemu Low selepas diperkenalkan oleh rakan sekerjanya. Katanya, Low menghubungi rakan sekerjaya untuk urusan pengambil alihan dan pembiayaan.

Sithambaram: Apa matlamat surat mandat dan pemegang mandat?

Yu: Pemegang mandat bertindak bagi pihak pemegang akaun.

Sithambaram: Adakah awak mendapat arahan daripada Najib tidak melalui pemegang mandat?

Yu: Kami menerima arahan bertulis daripada Najib untuk menutup semua akaunnya.

10.13am: Sithambaram memulakan soal balas saksi. Yu ditanya tentang skop kerjanya selaku pengurus perhubungan bank.

Jelasnya, kerjanya adalah memberi khidmat kepada pelanggan korporat dan mengendalikan produk perbankan.

Beliau ditanya jika beliau boleh melakukan transaksi bagi pihak pelanggannya. Katanya, tidak boleh, beliau juga tidak boleh memeriksa baki akaun.

10.08am: Yu berkata beliau menerima surat arahan untuk debit dana daripada akaun semasa Najib untuk dua keping kad kreditnya. Arahan pemindahan itu ditandatangani Najib sendiri.

Katanya, kad itu dibatalkan pada 11 Mac 2015 selepas semua hutang tertunggak dijelaskan. Katanya, Nik Faisal membayar tunggakan itu menerusi transaksi giro antara bank.

10.02am: Pada hari sama, Yu berkata Najib menulis surat arahan untuk semua akaunnya di bank itu ditutup, dan baki didebitkan ke dalam akaun IPSB. Katanya, rekod akaun Najib sentiasa ada terlebih pengeluaran, dan perlu menunggu wang dimasukkan sebelum cek boleh ditunaikan.

10am: Yu berkata pada 3 Mac 2015, beliau menerima arahan melalui surat supaya membatalkan kad kredit Mastercard Platinum dan Visa Platinum milik Najib. Bagaimanapun, beliau dimaklumkan Bahagian Kad Kredit yang kedua-dua kad itu tidak boleh dibatalkan kerana masih ada tunggakan. Semua tunggakan dibayar pada 10 Mac dan ia ditutup.

9.59am: Katanya disebabkan kedudukan Najib, bank membenarkan akaunnya terlebih pengeluaran. Bank juga membenarkan cek dimasukkan walaupun akaun terlebih pengeluaran.

9.57am: Beliau berkata, biasanya beliau hanya berurusan dengan Nik Faisal tentang akaun itu kerana Nik Faisal adalah pemegang mandat. Beliau kemudiannya akan memajukan arahan bertulis daripada Nik Faisal kepada bank.

9.56am: Yu dan Lee mengendalikan penyata dan akaun, dan menyerahkannya kepada Nik Faisal, mahkamah dimaklumkan.

Antara 2011 dan 2015, akaun berkenaan mencatatkan rekod transaksi yang tinggi.

Banyak pemindahan masuk dana berlaku, kata Yu, menambah yang beliau memerikasa perkara tersebut dengan Bank Negara Malaysia.

9.52am: Semua penyata dan buku cek berkaitan akaun itu disimpan di bank, seperti diarahkan Nik Faisal. Beliau juga mengeluarkan surat arahan bertarikh 26 Ogos 2013 kepada bank, menyatakan:

a) semua penyata dan komunikasi berkaitan akan itu adalah dibawah tanggungjawab Nik Faisal; dan,

b) semua penyata berkaitan akaun itu dikendalikan Yu dan Daniel Lee.

Joanna Yu Ging Ping adalah pegawai perhubungan pelanggan AmBank yang mengendalikan dua akaun Najib Razak di bank itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Julai, 2019.

9.43am: Najib mengeluarkan surat mandat pada 10 Mac 2011, membenarkan CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil untuk menandatangani cek bernilai lebih RM250,000, mahkamah diberitahu.

Nik Faisal memberitahu bank yang ada tiga lagi akaun akan dibuka di bawah nama Najib.

9.39am: Dua kad kredit diluluskan- sekeping Visa Platinum dan sekeping Mastercard Platinum, katanya.

Tambahnya, kod nama digunakan akaun Najib adalah berdasarkan permintaan Low, untuk memastikan kerahsiaan wujud.

Beliau tidak pasti siapa yang memutuskan nama itu.

9.36am: Katanya, beliau menguruskan akaun 1MDB sejak 2010. Beliau mengesahkan Najib adalah pengerusi lembaga penasihat.

Beliau dihubungi Low untuk membuka akaun Najib. Beliau kemudian memberitahunya syarat dan dokumen diperlukan.

Low yang meminta Cheah membantu Najib membuka akaun tersebut.

Yu berkata, beliau membantu dengan menyediakan borang yang kemudiannya diterima balik bertandatangan Najib daripada Cheah.

Beliau mengesahkan dua akaun tersebut- akaun simpanan dan akaun semasa- dibuka pada 13 Januari 2011.

9.26am: Mahkamah mula bersidang. Yu, 48, dan kini tidak bekerja, dipanggil ke kandang saksi. Beliau mula bekerja dengan AmBank di Bahagian Pelaburan pada 1995.

Katanya, beliau dipanggil pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bernama “Tuan Rosli” pada awal tahun ini.

Soal balas bermula mengenai dokumen bank ketika akaun berkaitan SRC International dibuka dan ditutup.

9.18am: Najib bersuit biru, duduk di ruang awam. Tommy Thomas sudah tiba begitu juga dengan Pendakwa Raya V Sithambaram. – 22 Julai, 2019.

Iklan
Iklan