Iklan

Cuba 'beli' Syed Saddiq, barulah berjumpa buku dengan ruas, kata Bersatu

Amin Iskandar7 years ago3rd Oct 2017Berita
Iklan

UMPAN RM5 juta kepada Syed Saddiq Abdul Rahman yang ditolak oleh ketua Pemuda Bersatu itu ibarat “buku bertemu ruas”, kata ketua penerangan parti itu, Kamaruddin Mohd Nor.

Kamaruddin berkata, Bersatu merasa sungguh bangga kerana mempunyai pemimpin Pemuda seperti Syed Saddiq yang tidak mudah dibeli.

“Barulah berjumpa buku dengan ruasnya. Kami di Bersatu merasa sungguh bangga mempunyai pemimpin permata berlian seperti Syed Saddiq.

“Semoga Allah terus mengukuh sahsiahnya dan melindunginya dari sebarang bencana,” kata Kamaruddin kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Syed Saddiq, 25 mendedahkan pada satu sidang media ditawarkan RM5 juta oleh penasihat kanan kepada Perdana Menteri Najib Razak untuk meninggalkan negara dan meneruskan pengajian di Universiti Oxford.

Katanya, beliau bagaimanapun enggan meninggalkan parti dan mahu terus mendedahkan rangkaian aktiviti rasuah yang sistematik

Kamaruddin berkata, pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) selalu percaya kepada konsep “cash is king” dan mereka fikir boleh membeli pemimpin-pemimpin Bersatu.

“Oleh kerana beberapa orang bekas ahli Bersatu telah dapat dibayar harga mereka dengan wang dan lain-lain habuan sebelum ini, maka mereka ingat wang boleh beli apa dan sesiapa sahaja.

“Tetapi tidak dengan Syed Saddiq. Wang RM5 juta ditambah dengan lain-lain imbuhan ternyata tidak sedikitpun menggoncang iman Syed Saddiq terhadap perjuangannya bersama Bersatu,” katanya.

Semalam Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad menyelar cubaan menyogok Syed Saddiq Abdul Rahman dan mengatakan ini merupakan “cara Najib Razak nak menang pilihan raya”.

Dr Mahathir berkata, selain ketua Pemuda Bersatu itu, terdapat juga pemimpin lain dari partinya yang mendapat tawaran sama.

“Ini memang usaha Umnolah. Terutamanya pembantu Najib seorang ni. Dialah orangnya yang selalu cuba beli orang.

“Offer sampai million-million nak beli orang tapi dia silaplah kalau dia ingat Syed Saddiq ni dia boleh beli,” kata Dr Mahathir kepada The Malaysian Insight di Kuala Lumpur malam tadi. 

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight malam tadi, Syed Saddiq mendedahkan sepatutnya beliau hanya perlu membaca skrip yang sudah disediakan pada sidang media di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur semalam.

Katanya, skrip yang diberikan hampir sama diberikan kepada mereka yang sudah meninggalkan Bersatu sebelumnya, baru-baru ini.

Juara debat dunia itu sepatutnya mengkritik Dr Mahathir dan mencabar bekas perdana menteri itu naik ke pentas untuk berdebat dengannya.

“Saya diminta untuk kritik Dr Mahathir seperti masa mesyuarat mereka suruh saya kata yang betul Dr Mahathir ini nak naikkan anak dia saja, Mukhriz.

“Mereka kata semuanya sudah disediakan. Saya cuma perlu baca saja.

“Saya kemudian kena cabar Dr Mahathir dan Mukhriz berdebat dan kalau mereka tidak setuju, buat macam forum ‘Nothing To Hide’,” kata Syed Saddiq dalam wawancara bersama The Malaysian Insight, malam tadi. – 3 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan