Penyokong buat kejutan hari jadi untuk Najib di mahkamah
Iklan
RUTIN harian Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bertukar meriah selepas sekumpulan 50 penyokong Najib Razak hadir membawa kek hari lahir untuk bekas perdana menteri yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-66 hari ini.
Najib tiba di kawasan mahkamah sekitar jam 11 pagi tadi untuk menghadiri perbicaraan kes SRC International disambut penyokongnya yang menyanyikan lagu “Happy Birthday” sebelum memintanya meniup lilin kes itu.
Sebaik meniupnya dan menjamah kek yang diberikan, beliau bergegas untuk menghadiri perbicaraan kesnya yang bermula lewat hari ini kerana beliau dan pasukan peguamnya menguruskan sebuah lagi kes di mahkamah rayuan di Putrajaya.
Laungan “lawan tetap lawan” mengiringi Najib sehinggalah beliau sampai ke kamar mahkamah terletak di tingkat lima.
Menurut seorang penyokong Najib yang hadir di mahkamah, sepatutnya ada sebuah kumpulan lagi menanti Najib bersama kek di tingkat lima di luar kamar mahkamah.
Bagaimanapun, pihak mahkamah tidak membenarkan perkara itu.
Awal pagi tadi, pasukan peguamnya berada di Mahkamah Rayuan Putrajaya untuk menarik balik rayuan pertuduhan pincang.
Peguamnya menarik balik permohonan dibuat Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menolak permohonan membatalkan tujuh pertuduhan ke atasnya melibatkan suapan RM42 juta dana SRC International yang masuk ke dalam akaunnya.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 29 April lalu memutuskan dakwaan Najib bahawa tuduhan ke atasnya pincang tidak berasas dan tidak disokong bukti. – 23 Julai, 2019.