Malaysia sudah capai tahap 'gila' kawal minda rakyat, kata Faisal Tehrani
Iklan
MALAYSIA sudah sampai ke tahap “gila” dalam mengawal minda masyarakat, kata novelis terkemuka Faisal Tehrani selepas sebuah lagi bukunya diharamkan kerajaan.
Faisal atau nama sebenarnya Faizal Musa berkata, beliau belum pasti apa tindakan yang bakal dilakukannya akan tetapi akan bertemu peguam dalam jangka masa terdekat.
“Tetapi saya kira kita sudah mencecah satu keadaan yang penuh krisis dan gila dalam mengawal minda manusia dan anggota masyarakat.
“Masih baru lagi Wakil khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PPB) mengenai hak kebudayaan, Profesor Karima Bennoune meminta pengharaman buku saya ditarik balik,” kata Faisal kepada The Malaysian Insight.
Selain menulis novel, Faisal juga merupakan felo penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Bennoune baru-baru ini melahirkan kebimbangannya terhadap kecenderungan Putrajaya mengharamkan buku.
Beliau menarik perhatian antara buku yang diharamkan itu termasuklah buku-buku mengenai Islam yang sederhana dan progresif dan hairan kenapa tindakan itu dibuat ketika kerajaan pada masa sama menonjolkan imej serupa di peringkat antarabangsa.
“Ini boleh memberikan kesan besar kepada perbahasan yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan mengakhiri lawatan 10 hari ke Malaysia pada 21 September lepas.
The Malaysian Insight melaporkan hari ini sebuah lagi buku Faisal diharamkan kerajaan, menjadikan setakat ini kesemuanya tujuh buah buku hasil karya pensyarah dan penulis prolifik itu yang telah diharamkan sejak 2013.
Perintah pengharaman buku-buku yang terbaru ini dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi pada 6 September 2017 mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Percetakan 1948. Perintah itu diwartakan pada 28 September 2017.
Warta itu menyebut larangan dikenakan kerana “mungkin memudaratkan ketenteraman awam, mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan mungkin memudaratkan kepentingan awam.”
Faisal dalam ucapannya membuka Festival Sastera ASEAN ke-4 di Jakarta pada 3 Ogos lalu berkata tindakan kerajaan mengharamkan buku adalah pengkhianatan kepada janji Merdeka yang terkandung dalam Perisytiharan Kemerdekaan 1957.
Buku-buku itu antara lain diharamkan atas dakwaan mengandungi unsur penyebaran ajaran Syiah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sementara itu, pendakwah Islam, Wan Ji Wan Hussin menyelar Putrajaya kerana mengharamkan buku.
Pengerusi Biro Agama Pemuda PKR itu berkata, tindakan kerajaan itu menggalakkan orang Islam supaya tidak membaca dan tidak juga berfikir.
“Mungkin menggemparkan fikiran orang ramai? Hanya mereka yang lemah daya pemikirannya akan berasa gempar.
“Langkah itu (mengharamkan buku) dibuat oleh orang yang anti tamadun. Mereka yang pro tamadun akan merayakan buku dan berbangga dengan budaya ilmu dan hasil karya mereka.
“Kerajaan sudah ambil langkah yang sama macam “Firaun” yang disebut dalam al-Quran, yang menindas rakyat dengan tidak membenarkan mereka berfikir,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Wan Ji, yang juga pegawai penerangan kerajaan negeri Pulau Pinang, memetik ayat 54 daripada Surah Zukhruf yang bermaksud: “Maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik yakni derhaka”.
“Kerajaan tidak boleh jadi macam Firaun dalam al-Quran. Ia seolah-olah bertentangan dengan al-Quran, yang dianggap kitab suci oleh orang Islam.
“Kalau sekiranya Imam Abu Hasan al-Hasy’ari ada di Malaysia pada hari ini, buku-bukunya tentu akan diharamkan kerana pandangan tidak selari dengan pandangan kerajaan yang memerintah,” katanya.
Beliau merujuk pada ulama besar dalam kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hidup pada kurun ke-9 yang juga dianggap sebagai zaman kegemilangan Islam. – 3 Oktober, 2017.