Kes bunuh Jong-nam: Peguambela asak pakar patologi mengenai laporan enzim
Iklan
PASUKAN peguambela hari ini mengasak para saksi, mencuba sebaik mungkin memperoleh persetujuan yang anak guamnya Siti Aisyah dan Doan Thi Huong tidak pernah menyentuh ejen saraf VX.
Peguam Doan, Hisyam Teh Poh Teik pada sesi petang mendesak saksi kelima Dr Nor Ashikin Othman untuk bersetuju yang berdasarkan laporan makmal enzim Cholinestaresw yang diperoleh, Doan tidak pernah secara fizikal menyentuh ejen saraf itu.
“Berdasarkan prima facie laporan makmal ini, adakah setuju yang katakan Doan tidak mempunyai sentuhan fizikal dengan VX. Ya atau tidak,” soal Hisyam.
Dr Nor Ashikin berkata “Tidak, saya tidak setuju,” pada pertanyaan pertama sebelum berkata “Ya,” pada pertanyaan ketiga Hisyam.
Hisyam kelihatan agresif dalam melontar soalan dan mendesak agar saksi menjawab soalan beliau sehingga beberapa kali Dr Nor Ashikin seolah terkejut.
Beliau turut melontar soalan sama bagi Siti Aisyah kepada pakar patologi kimia itu dan beliau mengiyakannya.
Rakan sepasukannya Salim Bashir juga turut menyemak laporan makmal dengan teliti dan mencadangkan kepada Dr Nor Ashikin yang ujian makmal boleh menjadi kurang tepat jika sampel darah diletakkan pada suhu bilik.
Seorang lagi peguambela Doan, Naran Singh bagaimanapun diingatkan Hakim Azmi Ariffin agar berhenti “memperkecilkan” Dr Nor Ashikin setelah beliau seolah-olah enggan menjawab soalan.
Sebelum ini, Dr Nor Ashikin turut dipersoalkan mengenai pengetahuan beliau mengenai ejen saraf VX oleh peguam Siti Aisyah, Gooi Soon Seng.
Gooi bertanya kepada beliau yang kadar Cholinestaresw rendah turut boleh disebabkan pengambilan pil hormon ataupun penyakit hati.
“Ya. Enzim Cholinestarese turut dijumpai pada kadar yang rendah di dalam pesakit yang mempunyai masalah hati tidak berfungsi dan kronik menyebabkan ia tidak mampu menghasilkan jumlah Cholinestarese yang bersesuaian,” kata Dr Nor Ashikin.
Prosiding mahkamah petang turut bersambung dengan keterangan daripada Pengarah Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Mohd Shah Mahmood yang juga menjalankan autopsi terhadap mayat Kim Jong Nam.
Dr Mohd Shah mengenal pasti identiti mayat itu sebagai Kim Chol berdasarkan maklumat dalam pasport Korea Utara si mati.
Seiring laporan itu, beliau menyatakan sebab kematian Kim ialah pendedahan melampau terhadap bahan kimia VX.
Beliau kemudiannya menerangkan terma perubatan yang digunakan dalam laporan bedah siasat itu.
Posiding hari ini berakhir dengan hakim membuang sebahagian laporan di bahagian sejarah dan rumusan laporan kerana mengandungi khabar angin dan dibantah pasukan peguambela.
Di luar mahkamah. Gooi memberitahu wartawan yang pasukan peguambela tidak bersetuju dengan sebab kematian yang ditulis dalam laporan kerana ia bukan daripada penilaian beliau sendiri sebagai ahli patologi utama.
“Beliau (Dr Mohd Shah) menyatakan kematian disebabkan VX kerana membuat rumusan berdasarkan penilaian pakar toksik dan pakar kimia lain. Apa yang kami cuba katakan ialah bukan kerja beliau untuk membuat kesimpulan tersebut. Ia patut disimpulkan oleh hakim,” katanya.
“Katakan anda terlibat dalam membuat (laporan bedah siasat) satu kemalangan. Sebab kematian ialah pendarahan otak dan bukannya sebab (kematian ialah) kemalangan. Sebagai doktor anda harus menggunakan fakta dan sebab perubatan bagi kejadian kematian,” tambah beliau.
Laporan bedah siasat tersebut diberikan kepada wartawan selepas tamat sesi hari ini.
Dalam muka surat terakhir laporan bedah siasat bertarikh Februari 2017 itu, dinyatakan kesan VX turut dijumpai di beg jenama ‘Tumi’ berwarna perang dan pakaian milik Kim.
Laporan toksikologi turut menyatakan Kim mengambil ubat darah tinggi, kencing manis dan gout.
Sesi hari ini berakhir pada jam 4:30 petang dan akan disambung esok dengan Dr Mohd Shah meneruskan keterangan dan disoal balas oleh pihak peguambela. – 3 Oktober, 2017.