Iklan

Pendakwaraya kes bunuh Jong-nam bawa sampel dicemari VX ke mahkamah

Radzi Razak7 years ago4th Oct 2017Berita
Kim jung nam 20171004 tmihasnoor 008
Siti Aishah dari Indonesia, salah seorang tertuduh didakwa membunuh Kim Jong Nam di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2017.
Iklan

PERBICARAAN kes bunuh Kim Jong-nam memasuki hari ketiga dengan pihak pendakwaan akan mengemukakan 10 sampel yang mengandungi VX ke mahkamah termasuk sampel darah, air kencing dan cecair yang didapati di muka si mati, kata Pendakwaraya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Wartawan yang membuat liputan di dalam kamar mahkamah juga diminta membawa topeng muka bagi meminimakan pendedahan terhadap ejen saraf berbahaya yang dikategorikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai senjata pemusnah besar-besaran (WMD) itu.

Perbicaraan akan disambung dengan keterangan dan soal balas terhadap Ketua Jabatan Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Mohd Shah Mahmood yang membuat bedah siasat terhadap mangsa.

Dua lagi saksi yang dijadualkan memberi keterangan hari ini ialah pakar toksik Jabatan Kimia Negara Dr Sharmila dan pakar toksik klinikal bebas Dr Ranjini Sivaganabalan.

Siti Aisyah dari Indonesia dan Doan Thi Huong dari Vietnam dituduh membunuh Jong-nam di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori sekiranya sabit kesalahan bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) 13 Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh tiba di mahkamah pada jam 8:05 pagi dengan kawalan ketat pasukan khas polis.

Siti diwakili peguam Gooi Soon Seng manakala Doan diwakili tiga peguam – Hisham Teh Pok Teik, Naran Singh dan Salim Bashir.

Perbicaraan bermula jam 9 pagi dan dijangka berakhir sebelum jam 5 petang.

Sambutan wartawan antarabangsa terutamanya dari Jepun masih tinggi walaupun tidak seramai berbanding Isnin lalu. – 4 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan