Iklan

Annuar Musa ada ‘muslihat’, PAS akan tetap lawan Umno pada PRU14

Amin Iskandar7 years ago4th Oct 2017Berita
Iklan

PAS akan tetap menentang Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan tidak timbul isu “kerjasama” dengan parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu, kata timbalan ketua penerangannya, Roslan Shahir Mohd Shahir.

Roslan berkata, menjelang PRU14, PAS sudah bersiap sedia untuk berdepan BN dan Pakatan Harapan (PH).

“PAS telah berkali-kali menegaskan tiada kerjasama politik dengan Umno-BN mahupun PH.

“Mungkin Annuar Musa punya motif atau muslihat politik tertentu tetapi di pihak PAS kami fokus ke arah menghadapi Umno-BN dan PH pada PRU14 ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Semalam Annuar berkata di Pulau Pinang, Umno dan PAS akan menyaksikan “kerjasama yang semakin kuat” pada PRU14.

Ketua penerangan Umno itu berkata, situasi ini mungkin berlaku kerana kedua-dua parti mempunyai banyak persamaan dalam perjuangan politik mereka.

“Ada persamaan yang bertembung, seperti matlamat perjuangan kami, yang lebih penting. Kerana itu, saya jangka akan ada kerjasama antara Umno dan PAS daripada semasa ke semasa.

“Tunggu beberapa minggu atau bulan lagi bila pilihan raya makin dekat.

“Saya percaya kepimpinan Umno dan PAS akan mengumumkan tentang kepentingan agama yang akan menjadikan orang Melayu dan Islam gembira,” katanya pada dialog “Perjuangan4All” Umno di Balik Pulau malam tadi.

Roslan yang juga pengarah Pilihan Raya PAS Selangor berkata, parti Islam itu sudah mempersiapkan jentera pilihan raya mereka untuk berdepan BN dan PH.

“Jentera pilihan raya PAS Selangor umpamanya sudah dikerahkan untuk menghadapi pertandingan tiga atau lebih penjuru disekurang-kurangnya 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Dalam hal berkenaan kepentingan negara dan antarabangsa selain yang berkaitan Islam, PAS memang sentiasa terbuka dan berkerjasama dengan pihak kerajaan tetapi ia bukannya kerjasama politik apalagi kerjasama PAS-Umno,” katanya.

Menurut Roslan, Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal Terengganu baru-baru ini menyaksikan pengukuhan Gagasan Sejahtera dengan penyertaan Berjasa dan Parti Cinta Malaysia selain dokongan daripada ratusan NGO yang bernaung di bawah Kongres Rakyat. –  4 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan