Pendakwa raya tidak konsisten, kata peguambela kes Kim Jong-nam
Iklan
PEGUAMBELA tertuduh kes bunuh Kim Jong-nam mempersoalkan tindakan pihak pendakwa raya yang cuba memasukkan semula lima perenggan bahagian sejarah kes dan rumusan bagi laporan bedah siasat si mati yang dikeluarkan Hospital Kuala Lumpur pada Februari lalu.
Peguambela Naran Singh yang mewakili warga Vietnam Doan Thi Huong berkata, pihak pendakwa raya yang mempunyai enam ahli melakukan kesilapan dan membuat pusingan “U” walaupun bersetuju menarik lima perenggan itu selepas dibantah peguambela dan dibenarkan Hakim Azmi Ariffin semalam.
“Laporan bedah siasat itu sudah diperoleh sejak Februari lalu. Jadi mereka mempunyai banyak masa untuk memeriksanya.
“Bukan seorang tetapi lima lagi pendakwa raya yang membantah untuk menarik perenggan itu semalam. Keenam-enam mereka telah buat silap,” kata beliau kepada wartawan di luar kamar selepas mahkamah berehat untuk sesi pagi hari ini.
Pagi tadi, pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin meminta perenggan yang menghuraikan sejarah kes serta temubual awal dengan mereka yang menjumpai dan memberi bantuan kecemasan kepada Kim yang merupakan warga Korea Utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selepas beliau mengadu diserang dua perempuan dimasukkan semula.
Beliau menyatakan perenggan itu penting dan boleh menjejaskan kes pendakwaan sekiranya ditarik.
Semalam, ia dibantah kerana mempunyai khabar angin dan sangkaan tanpa bukti dan dibenarkan oleh hakim atas persetujuan kedua pihak.
Bagaimanapun hakim mengekalkan arahan membuang perenggan tersebut buat masa ini. – 4 Oktober, 2017.