Iklan

Kementerian pendidikan akan jumpa pegawai Oman

Sharon Tan7 years ago4th Oct 2017Berita
Idris jusoh tminazirsufari 01dap011
Menteri Pendidikan Tinggi Idris Jusoh berkata pegawai berkenaan akan mengadakan pertemuan pada Isnin depan bagi mendapatkan maklumat berhubung larangan dibuat Oman terhadap pelajarnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2017.
Iklan

PEGAWAI Kementerian Pendidikan Tinggi akan bertemu rakan sejawat mereka di Oman berhubung larangan pendaftaran di empat universiti swasta.

Menterinya Idris Jusoh berkata pegawai berkenaan akan mengadakan pertemuan pada Isnin depan bagi mendapatkan lebih maklumat berhubung isu itu sebagai sebahagian daripada siasatannya.

“Hubungan kami memang baik. Mungkin ada salah komunikasi,” katanya pada sidang akhbar sebelum pelancaran jaringan MYREN -X 100Gbps untuk institusi pengajian tinggi.

Pada 1 Oktober, Kementerian Pendidikan Tinggi Oman melarang pelajarnya mendaftar di empat universiti di Malaysia susulan isu yang mendakwa wujud salah guna akademik dan pentadbiran.

Empat universiti itu ialah Universiti Islam Sains Malaysia, Universiti SEGI, Linkokwing University of Creative Technology dan Universiti Pengurusan dan Keusahawanan Binary.

Berhubung isu sijil palsu daripada dua institusi pendidikan, Idris mengesahkan kementerian sudah membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Beliau berkata kementerian juga meminta UiTM dan Universiti SEGi membuat laporan polis kerana sijil palsu itu membabitkan mereka.

“Saya pasti dua universiti itu akan mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara ini,” kata Idris.

Pada Isnin, sebuah akhbar harian melaporkan sijil palsu dijual oleh sindiket pada harga antara RM1,000 dan RM3,000.

Diploma palsu dari UiTM dijual pada harga RM1,000 sementara ijazah RM2,000.

Bagi diploma palsu daripada SEGi, harganya RM2,000 dan ijazah RM3,000.

Ditanya sama ada universiti lain terbabit, Idris berkata jika ada insiden sama berlaku, kementerian akan meminta universiti terbabit mengambil tindakan sewajarnya. – 4 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan