Iklan

Putrajaya hati-hati teliti semua permohonan ekstradisi, kata Saifuddin

Sheridan MahaveraYvonne Lim5 years ago30th Jul 2019Berita
Saifuddin abdullah (2)
Setiap permohonan ekstradisi diteliti berdasarkan kes dan berdasarkan pendirian kerajaan yang mendukung demokrasi, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2019.
Iklan

PUTRAJAYA akan mengambil sikap berhati-hati terhadap sebarang permohonan untuk mengekstradisi pendakwah kontroversi Zakir Naik meskipun terus dituduh mengamalkan pilih kasih, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Tidak hanya kepada Zakir, Putrajaya juga mengambil pendirian sama bagi permohonan ekstradisi lain, katanya lagi.

Menurut Saifuddin, setiap permohonan akan diteliti berdasarkan kes dan berdasarkan pendirian kerajaan yang mendukung demokrasi, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.

“Pendirian kita tetap sama,” kata Saifuddin, mengulangi kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa Putrajaya perlukan jaminan Zakir akan diberi perbicaraan yang adil di India.

“Jika dia tidak diberi perbicaraan yang adil, untuk apa kita hantar dia balik? Itulah sebabnya,” beliau memberitahu The Malaysian Insight melalui wawancara khas “Menteri in my MyVi”. 

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata Putrajaya perlukan jaminan bahawa Zakir Naik diberi perbicaraan yang adil di India sebelum diekstradisi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2019.

Namun, pengkiritik berkata Malaysia mengamalkan sikap pilih kasih menghantar pulang seorang aktivis yang dikehendaki pihak berkuasa Thailand atas dakwaan menghina keluarga diraja negara itu.

Berkenaan hal ini, Saifuddin berkata: “Saya fikir kerajaan sekarang sudah membuat satu keputusan untuk lebih berhati-hati menghantar seseorang pulang ke negara asal.”

Dan ia akan digunapakai untuk semua permohonan ekstradisi, tambah beliau.

Pada November 2016, India mengharamkan Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) milik Zakir serta tiga kali memohon Notis Merah Interpol ke atas pendakwah itu.

Notis Merah bermaksud usaha mencari serta menangkap individu yang dikehendaki akan dilakukan oleh bidang kuasa kehakiman atau tribunal antarabangsa, dengan tujuan untuk mengekstradisi.

Zakir yang memperoleh taraf penduduk tetap di negara ini dituduh menyokong keganasan dan mengubah wang haram.

Interpol menerusi surat bertarikh 22 Julai yang ditandatangani Sekretariat Suruhanjaya Kawalan Fail Interpol (CCF) memutuskan untuk tidak mengeluarkan Notis Merah terhadap Zakir.

Meskipun kumpulan agama di Malaysia mendesak Putrajaya menghantar semula Zakir ke India, pendakwah itu mempunyai ribuan penyokong yang mahu kerajaan melindunginya. – 30 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan