Pakar senjata kimia beri keterangan kes bunuh Kim Jong-nam hari ini
Iklan
PERBICARAAN hari keempat pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong-nam bakal menampilkan saksi kelapan pakar kimia Dr Raja Subramaniam dari Jabatan Kimia Malaysia.
Raja yang turut mempunyai kepakaran dalam bidang senjata kimia adalah individu yang bertanggungjawab menjelaskan penggunaan ejen saraf VX dalam kes ini.
Peguam bela Naran Singh yang mewakili warga Vietnam Doan Thi Huong menyatakan pasukan mereka bersedia untuk mendengar dan menyoal balas Raja.
“Ya, beliau adalah pakar VX. Kami akan bertanya soalan dan akan beritahu anda bagaimana nanti,” kata beliau kepada The Malaysian Insight sebelum sesi bermula pagi ini.
Naran dan rakan sepasukannya sejak hari pertama perbicaraan telah mempertikaikan VX sebagai punca utama kematian Kim.
Semalam, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin membawa beberapa sampel yang mengandungi VX sebagai bahan bukti.
Ketua Jabatan Patologi Dr Mohd Shah Mahmood dalam keterangannya semalam juga mengatakan yang enam jenis ubat yang ditemui dalam ujian darah Kim termasuklah viagra selain ejen saraf VX.
Doan dan Siti Aisyah dari Indonesia masing-masing dituduh membunuh Kim yang menggunakan identiti Kim Chol di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori sekiranya sabit kesalahan bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) 13 Februari lalu.
Kedua-dua tertuduh tiba di mahkamah pada jam 7:45 pagi hari ini dengan kawalan ketat pasukan khas polis.
Siti diwakili peguam Gooi Soon Seng manakala Doan diwakili tiga peguam - Hisham Teh Pok Teik, Naran Singh dan Salim Bashir.
Perbicaraan bermula jam 9 pagi dan dijangka berakhir sebelum jam 5 petang dengan waktu rehat pada tengah hari.
Wartawan tempatan dan asing masih memenuhi perkarangan mahkamah sejak pagi lagi untuk membuat liputan kes ini. – 5 Oktober, 2017.