Iklan

Putrajaya rangka pelan strategik bantu Rohingya

Sheridan MahaveraYvonne Lim5 years ago2nd Aug 2019Berita
Rohingya
Pelarian Rohingya berteduh di khemah di kem pelarian pelarian Cox’s Bazaar di Bangladesh. Sejak 2017, seramai 650,000 Rohingya melarikan diri dari Rakhine akibat keganasan tentera Myanmar. – Gambar EPA, 2 Ogos, 2019.
Iklan

MEMBANTU kanak-kanak pelarian Rohingya mendapatkan peluang pendidikan lebih baik di Malaysia akan menjadi ciri utama dalam strategi Putrajaya membantu salah satu daripada masyarakat paling tertindas di dunia itu, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata rancangan itu juga akan termasuk meneroka pilihan yang ada bagi membolehkan Rohingya bekerja secara sah di Malaysia.

Antara usaha lain ialah misi bantuan ke luar negara seperti hospital di kem pelarian Cox’s Bazaar di Bangladesh dan program di Rakhine, Myanmar.

Beliau berkata pelan itu juga akan menentukan hala tuju dan dasar paling baik bagi Putrajaya menggunakan sumber terhadnya bagi membantu 200,000 Rohingya di Malaysia dan lebih sejuta lagi di kem pelarian di seluruh dunia.

“Gambaran lebih besarnya ialah kami perlu memutuskan apa yang perlu dilakukan dan bagaimana kita boleh menyumbang untuk Rohingya,” kata Saifuddin kepada The Malaysian Insight.

“Bagaimana kita boleh mengoptimumkan sumber kita yang terhad? Sebagai contoh, pendidikan. Adakah kita mahu fokus pada kanak-kanak itu di Malaysia,” katanya dalam satu temu bual khas untuk segmen “Menteri dalam MyVi”.

“Mampukah kita menjalankan program pendidikan di Cox’s Bazaar? Atau adakah kita hentikan program pendidikan di sana dan beri tumpuan hanya kepada mereka yang ada di sini?”

Digambarkan sebagai salah satu masyarakat minoriti paling tertindas di dunia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 2013, dianggarkan hampir dua juta Rohingya melarikan diri dari Myanmar dari zaman 1970-an kerana keganasan terhadap mereka di negara itu.

Tentera Myanmar dituduh melakukan kempen pembunuhan beramai-ramai terhadap Rohingya dan dalam keganasan terbarunya pada 2017, seramai 650,000 Rohingya melarikan diri.

Lebih sejuta Rohingya pada masa ini tinggal di kem pelarian di Bangladesh, sementara Malaysia menerima kira-kira 200,000.

Putrajaya juga secara konsisten mengkritik kerajaan Myanmar atas layanan mereka terhadap masyarakat itu. Ia juga mempunyai beberapa program kemanusiaan di Cox’s Bazaar dan di kem pelarian di Rakhine. – 2 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan