Iklan

Apabila kerajaan lemah, sultan memimpin rakyat

The Malaysian Insight7 years ago5th Oct 2017Editorial
SultanJohor-FB2017
Ketika eksekutif bergelut dengan masalah politik mereka, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mula memimpin rakyat. – Gambar Facebook, 4 Oktober, 2017.
Iklan

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kini tidak sekadar mengadakan pertemuan tradisi dengan menteri besar pada setiap Rabu untuk taklimat hal ehwal negeri. Baginda bertitah semalam yang Rabu kini akan menjadi “Hari Terbuka” untuk pegawai-pegawai negeri memberi taklimat dan penjelasan kepada baginda mengenai pembangunan negeri. 

Tidak dapat dinafikan sebagai seorang Sultan, baginda sememangnya ada keprihatinan yang mendalam terhadap negeri Johor. Baginda sebelum ini lantang bersuara mengenai pembangunan infrastruktur fizikal di negeri itu malah menyuarakan pandangannya mengenai sistem jaringan keretapi baru yang menghubungkan Johor dengan Singapura.

Realitinya, ia sebuah lagi misalan bagaimana seorang Sultan menggunakan pengaruh, kuasa dan kawalannya ketika kepimpinan pusat lemah. Sultan dan Raja kini mengisi kelompangan kepimpinan negara.

Ini boleh dilihat daripada catatannya di Facebook mengenai Hari Terbuka yang akan “memastikan projek-projek pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan negeri Johor dan agensi-agensi berkaitan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.”

Catatan itu turut menyatakan: “Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menjadikan hari Rabu sebagai ‘Hari Terbuka’ bagi membolehkan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri memberikan taklimat dan perkembangan terkini berkaitan pembangunan di Johor.”

Catatan yang sama juga memaparkan gambar pertemuan Sultan dengan pegawai tertinggi negeri termasuklah Menteri Besar Mohamed Khaled Nordin. Tiada yang luar biasa kecuali Rabu selama ini dikenali sebagai “Hari Kabinet”.

Sejak Merdeka, peranan Sultan dan Raja Melayu lebih bersifat adat istiadat dan eksekutif kerajaanlah yang sebenar-benarnya mentadbir negeri. Di peringkat pusat pula, pentadbiran dilakukan kerajaan pusat. Tetapi semua itu sedang berubah sekarang.

Zaman sebuah eksekutif yang kukuh dan tegas nampaknya sudah berakhir dan institusi diraja kini dilihat sedang memimpin. Isu kedai dobi di Johor yang mencetuskan kontroversi kerana dibuka hanya untuk orang Islam adalah bukti nyata.

Tiada ahli politik kerajaan yang mengeluarkan pendirian tentang perkara itu sehinggalah Sultan Johor memberikan kata dua kepada pemilik dobi. Putrajaya kemudian dengan lemahnya bersetuju yang Sultan Johor melakukan sesuatu yang betul.

Kalau hendak dibandingkan, kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu akan segera mengecam pemilik dobi tersebut, mengatakan yang ia bertentangan dengan semangat muhibah dan kesejahteraan nasional.

Tetapi kebimbangan tentang perpaduan dan keharmonian nasional kini nampaknya dijunjung Raja-Raja Melayu dan bukan lagi ahli politik. Mereka melibatkan diri dalam urusan negeri melebihi sekadar soal adat istiadat, meskipun Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan.

Tetapi situasi boleh berubah sekiranya eksekutif negeri dan persekutuan pusat terus lemah dan sibuk bergelut dengan masalah sendiri, dan bukannya menjalankan tugas hakiki mentadbir negara dan melaksanakan dasar yang bermanfaat untuk rakyat.

Lebih ramai Sultan dan Raja akan mengisi kelompangan ini, yang mungkin disambut baik oleh rakyat tetapi pada masa yang sama memperjudikan Perlembagaan yang sudah menggariskan peranan setiap sektor yang membentuk kerajaan.

Kerana pada akhirnya, ini adalah soal kepimpinan. Dan ketika ini, hanya Sultan dan Raja yang nampaknya sedang memimpin rakyat dan negara. – 5 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan