Iklan

Pakar kimia dedah cara paling cepat membunuh guna VX

Radzi Razak7 years ago5th Oct 2017Berita
Kim jong-nam murder trial shah alam high court oct 4 epa
Beberapa anggota polis mengawal Mahkamah Tinggi Shah Alam semasa perbicaraan kes pembunuhan Kim Jong-Nam berlangsung. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2017.
Iklan

CARA paling cepat untuk membunuh seseorang menggunakan senjata kimia VX ialah dengan menekup mata dan kulit leher sasaran, kata pakar senjata kimia Dr Raja Subramaniam kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Dr Raja, saksi kelapan dalam perbicaraan kes bunuh warga Korea Utara, Kim Jong-nam hari ini menjelaskan mengenai cara penggunaan VX – yang diiktiraf sebagai senjata kimia paling bahaya – sama ada dengan menyembur pada muka, atau menekup dengan menggunakan kain.

“Jika saya dalam posisi demikian, saya akan menekup bahagian mata dan kulit bahagian leher. Seperti saya katakan sebelum ini, ia merupakan cara paling cepat untuk diserap menerusi mata.

“Jika anda semburkannya, anda perlu menggunakan pelarut untuk mengurangkan kelikatan VX supaya ia boleh disemburkan sebagai aerosol.

“Anda akan memperoleh kesan terlarut, jadi perlu menggunakannya dengan banyak untuk mendapatkan kesan yang sama,” katanya menjawab soalan daripada pasukan pendakwaan.

Dr Raja yang bertugas sebagai ketua Bahagian Senjata Kimia dan Analisis, Jabatan Kimia Negara turut menjelaskan sifat VX yang stabil amat strategik untuk penggunaan secara efektif tanpa mempengaruhi persekitaran.

Dr Raja yang diberi jolokan saksi bintang pasukan pendakwaan pada sebelah pagi mendedahkan beliau menemui kesan VX di pakaian kedua-dua tertuduh, Siti Aisyah dan Doan Thi Huong.

Sementara itu, pasukan pembelaan nampak agak tegang hari ini dengan peguambela mendakwa tidak mengetahui dan mendapat dokumen berkaitan bukti daripada pihak pendakwaan yang melibatkan mereka.

Peguam Doan, Naran Singh berkata beliau sudah berkali-kali meminta dokumen yang menunjukkan pasukan penyiasatan dan pendakwaan mengambil barang-barang milik anak guamnya.

“Kami tidak gembira hari ini ada dokumen yang saya minta daripada DPP sebelum perbicaraan, sebelum saksi dipanggil. (Saya dah minta) ‘Bolehkah beri dokumen yang menunjukkan kamu (pendakwaan) mengambil T-shirt anak guam kami? Adakah kamu mempunyai dokumen yang menunjukkan telah mengambil serpihan kuku anak guam kami? Dan dia (DPP) tidak mahu memberikannya,” kata beliau selepas tamat sesi hari ini.

Sesi hari ini ditamatkan awal oleh Hakim Azmi Ariffin sebelum sesi soal balas peguambela dengan Dr Raja.

Azmi turut menetapkan mahkamah akan bersidang secara terbuka di Jabatan Kimia Petaling Jaya di mana pasukan DPP akan menunjukkan barang-barang yang mempunyai kesan VX kepada pasukan peguambela sebelum diserahkan kepada mahkamah.

Perbicaraan akan diteruskan pada sebelah petang di Mahkamah Shah Alam kemudiannya.

Siti Aishah dan Doan sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mereka dituduh di Mahkamah Majistret Sepang atas pembunuhan Jong-nam yang ketika itu sedang bersiap sedia menaiki pesawat ke Macau pada 9.00 pagi, 13 Februari.

Semasa di Lapangan Terbang Antaraangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), beliau didekati dua wanita yang menyemburnya dengan cecair, sementara seorang lagi melekapkan kain pada mukanya.

Kematian Jong-nam itu disusuli krisis diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara, yang menafikan tuduhan pembabitan regim Pyongyang. – 5 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan