Jual dadah macam di pasar, kata penduduk
Iklan
SUASANA di kawasan ini bagaikan sebuah pasar yang mula sibuk sejak awal pagi, tetapi aktivitinya menimbulkan kebimbangan penduduk di Ujung Batu, Butterworth.
Ini kerana, barang yang diperdagangkan di sini ialah pelbagai jenis dadah yang dijual secara terbuka. Lebih membimbangkan lagi, ramai di kalangan pelanggannya pula terdiri daripada kalangan remaja.
Antara dadah yang dijual di sini adalah methamphetamine atau syabu yang dikenali dengan nama “batu”, ganja yang digelar “daun” dan juga heroin.
Bagi penduduk sekitar seperti di Kampung Perlis, Bagan Dalam, Chain Ferry dan Taman Mewah, pengedaran dadah di kawasan itu satu rahsia terbuka.
Mereka percaya aktiviti ini didalangi kongsi gelap yang kebal daripada tindakan undang-undang.
Penduduk memberitahu The Malaysian Insight, aktiviti di sini bermula seawal jam 6 pagi dan individu terlibat mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa.
Operasi dilakukan polis hanya menyaksikan penagih dan penjual dadah secara runcit saja yang ditangkap sedangkan pengedar utama masih bebas, dakwa penduduk.
The Malaysian Insight menyaksikan sendiri aktiviti dagangan dadah itu secara rahsia selama empat hari berturut-turut dan merakamnya dengan kamera.
“Remaja dan lelaki dewasa yang akan menjual dadah di sekitar kawasan ini dan kebanyakan mereka juga berasal dari kampung ini dan yang berdekatan.
“Mereka biasanya menunggang motosikal dan akan berhenti berdekatan pembeli sebelum menyerahkannya secara terbuka.
“Mereka tidak takut langsung untuk menjual secara terbuka kerana dilindungi polis,” kata seorang penduduk.
Sementara itu, menurut seorang lagi penduduk berkata sebuah rumah kosong di belakang sekolah rendah di kawasan berkenaan juga menjadi lokasi pengedaran dan penagihan dadah.
“Kami cukup risau dengan keselamatan anak-anak apabila nampak banyak kelibat penagih atau penjual dadah pada awal pagi ketika mereka berjalan kaki ke sekolah.
“Orang yang khayal atau terdesak membeli dadah ini sanggup buat apa saja termasuk menyamun dan meragut tidak kira usia mangsa itu,” katanya.
Menurutnya, aktiviti itu mengundang ramai penagih luar berhijrah ke kawasan berkenaan dan menjadikan Ujung Batu sebagai pusat pengedaran dadah popular di Butterworth.
“Orang ramai di sekitar Butterworth pun tahu mengenai aktiviti haram di kawasan ini, takkan polis tidak tahu. Kami sendiri hairan kenapa hanya penagih yang selalu ditahan.
“Sekiranya penjualan dadah dapat dihentikan di kawasan ini semestinya penagih akan beralih ke kawasan lain. Penawaran perlu dihentikan terlebih dulu,” katanya.
Beliau juga mendakwa pernah melihat polis mengambil wang secara terbuka daripada pembekal dadah di situ. – 7 Ogos, 2019.