Orang Melayu terus lemah jika Pakatan berkuasa, kata Mat Taib
Iklan
SELEPAS masing-masing dua tahun dalam PAS dan kemudian PKR, Muhammad Muhammad Taib pulang ke pangkuan Umno untuk mengulangi pendirian parti orang Melayu itu bahawa hanya ia satu-satunya parti yang boleh membawa kemajuan kepada orang Melayu.
Orang Melayu akan ketinggalan dari segi ekonomi dan politik sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pilihan raya akan datang kerana hanya Umno boleh menyelamatkan mereka, kata bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad Muhammad Taib.
Mengambil contoh di negeri Selangor, bekas ahli PKR itu mempersoalkan apakah yang dilakukan pentadbiran Azmin untuk membantu orang-orang Melayu.
“Apakah agenda kamu untuk membantu orang-orang Melayu? Saya sudah wujudkan Shah Alam, bandar Melayu. Apa rancangan dia? Apa rancangan dia untuk menyelesaikan masalah kemiskinan bandar?” soal Muhammad kepada Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.
“Banyak pengangguran Melayu bandar sekarang. Kemiskinan bandar, dulu kemiskinan di luar bandar. Di manakah ‘Felcra’ bandar kamu? Mana program-programnya?” tanyanya, dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insight.
Azmin yang juga timbalan presiden PKR bulan lepas mengatakan Umno terdesak sehingga terpaksa mengutip semula “akhbar lama” sebagai reaksi kepada penyertaan semula Muhammad ke dalam Umno.
Muhammad turut mempersoalkan siapakah tokoh ahli perniagaan Melayu yang dilahirkan di Selangor sejak PKR menguasai negeri terkaya Malaysia itu pada 2008.
“Saya dulu wujudkan peniaga-peniaga Melayu terkaya. Enam ‘billionaire’ Melayu lahir pada zaman saya. Namakan saya seorang saja? Atau satu saja (yang dilahirkan PKR sejak menguasai Selangor pada 2008).
“Enam billionaire! Yang millionaire tak terkira,” kata Muhammad tanpa mahu menamakan enam ahli perniagaan Melayu terkaya yang dilahirkannya ketika memerintah Selangor.
Muhammad turut mengulangi kenyataanya dalam sidang media di rumahnya pada Isnin, mengingatkan orang-orang Melayu dengan pepatah Inggeris jangan bunuh angsa bertelur emas.
Pepatah yang digunakan Muhammad itu menimbulkan reaksi di media sosial dengan ada yang mempersoalkan hanya sebilangan kecil “Melayu bertuah” mendapat “telur emas” berbanding majoriti hanya mendapat “telur busuk.”
“Saya tak nampak alternatif kepada Umno. Kecuali, ada alternatif. Kecualilah. Tapi tak nampak. Jadi kalau kita bertukar kepada pembangkang, berkecamuklah kepimpinan Melayu.”
Berikut adalah petikan temuramah The Malaysian Insight bersama Muhammad, yang mesra dengan panggilan Mat Taib:
Soalan: Apa pandangan Tan Sri tentang kritikan terhadap Tan Sri patah balik ke Umno? Ada yang kata “katak” lah.
MAT TAIB: Saya ingat mereka ini sudah apa? Mereka sudah jadi… apa nak kata, ya? Nak kata gila? Tak boleh. Mereka ini sudah mabuk.
Mereka dah mabuk, tak dapat melihat dengan mata yang jelas. Dia sudah penuh dengan emosi dan emosi.
Dia dendangkan dengan emosi. Mereka sudah hampir bertaraf nyanyuk. Tak dapat melihat secara objektif!
Soalan: Ada juga yang ungkit kes-kes lama Tan Sri…
MAT TAIB: Itu orang bodoh. Lawanlah saya dengan isu yang saya bawa ini. Pasal apa nak korek? Dia tak ada isu?
Soalan: Mereka tak jawab isu yang Tan Sri timbulkan?
MAT TAIB: Hah! Tak ada isu. Masing-masing tak ada isu. Cuba korek sampai umur dia enam bulan dulu. Tak pernah ada? Koreklah. Jadi kalau kita nak based on itu saja. “You are not matured!”
Awak tak ada taraf dengan saya. Kalau itu awak, awak memang tak ada taraflah. Awak sudah nyanyuk dah, awak dah nyanyuk. Tak ada taraf dengan “level” saya cakap ni.
You lawan saya punya cakap sekarang. Isu yang saya bawa ini. Itu awak lawan. Bukan berdasarkan 20 tahun lalu punya hal.
Soalan: Katalah Tan Sri ditawarkan untuk bertanding PRU14. Nak tak?
MAT TAIB: Saya dah kata. Saya sebenarnya sudah ditawarkan bertanding untuk PKR di Hulu Selangor, Parlimen Hulu Selangor.
Ada angin-angin berkata bahawa saya akan bertanding, jadi kalau saya nak bertanding, saya tunggulah situ (dalam PKR). Saya tidak ada niat nak bertanding.
Saya rasa negara ini lebih selamat kalau politiknya, dikawal oleh orang Melayu. Orang Cina jaga perniagaan. Orang Melayu bagi dia jaga perniagaan, selepas itu kita jaga negara ini sama-sama. Orang Cina boleh semaju-majunya. Orang India boleh naik semaju-majunya.
Orang Melayu pun boleh masuk dalam bidang-bidang profesional, dalam bidang perniagaan, tapi kuasa politik tak boleh lepas.
Soalan: Tapi Tan Sri, dulu pada Mei 2015, selepas Tan Sri tinggalkan PAS dulu, dalam satu forum bertajuk “Mencari Pemimpin Baru Malaysia”, Tan Sri kata Tan Sri tinggalkan PAS kerana parti itu tidak berminat untuk mewakili pelbagai kaum. Mengapa sekarang kembali menyertai parti satu kaum seperti Umno?
Mat Taib: Komen saya, you tengok ucapan Dr Mahathir Mohamad semasa dia berucap di pentas PAS pada tahun 1969. You tengok ucapan Mahathir semasa jadi presiden Umno.
You tengok ucapan Mahathir sejak dia jadi pengerusi Bersatu. Left, up, down, right and left. Ini, kalau Mahathir macam tu, Muhyiddin Yassin pun macam tu. Anwar Ibrahim dulu lain, sekarang lain.
Why you pick on me? Why you pick on me? Memanglah saya tak puas hati dulu. Ada isu yang saya tak puas hati. Tetapi saya fikir isu ini mesti dibetulkan secara dalaman.
Yang penting wadahnya itu mesti tak boleh lepas. Wadah mesti kukuh dijaga oleh orang Melayu. Wadah itu wadah politik.
Macam sekarang, Bersatu. Bersatu sampai ke bawah tak ada jentera. Peringkat kampung tak ada jentera. Macam mana dia nak berkempen jentera semua tak ada.
Belum ada lagi yang macam Umno di sebelah sini. Macam Republican dengan Democrat di Amerika Syarikat. Belum lagi. Belum level itu. Selagi level itu belum ada, Umno mesti diberi kuasa.
Ini sekarang di sini Umno solid. Umno satu. Di sini Melayu, Bersatulah, Amanah lah, PKR lah, PAS lah. Berpecah!
Soalan: Tan Sri dulu masa keluar Umno tak ada orang ikut. Keluar PAS masuk PKR pun tak ada orang ikut. Sekarang kembali kepada Umno pun tak berjaya bawa orang. Tan Sri kelihatan tak berpengaruh. Apa nilai tambah Tan Sri kepada Umno?
Mat Taib: Bagi saya, ada pengaruh, tak ada pengaruh tak penting. Saya ada isu nak bercakap kepada orang Melayu. Dan saya tak pernah jemput siapa pun ikut saya.
Saya tak percaya dengan ada pasukan, penyokong. I don’t believe that. Saya percaya dengan isu. Issue will stand up. You ada seribu orang pun tapi tak ada isu, nak buat apa?
Biar saya seorang tapi saya ada isu nak bercakap. Nak berlawan, bercakaplah tentang isu. Bukan cakap tentang orang. Orang kalau bayar duit satu stadium boleh penuh.
We based on the issue. Betul tak orang Melayu mesti menguasai politik negara ini? Betul tak orang lain jangan cuba campur ini? Orang lain awak dalam bidang awak, awak jaga bidang awak. Jangan cuba campur ini.
Soalan: Masa dalam PKR ada ke dia orang panggil Tan Sri untuk menasihatkan hal-hal berkenaan Melayu? Terutamanya di negeri Selangor.
Mat Taib: The set up is not there. The meeting is full of Malays, non Malays. Nak cakap tentang Melayu? Dalam tu all the top leadership. Macam mana nak bincang agenda Melayu?
Nak ke Sivarasa Rasiah semua ni? Nak ke bercakap soal Melayu? Tian Chua, Wong Chen, nak ke dia cakap pasal Melayu ni? It’s a wrong place. Wrong place to speak. Di mana nak cakap soal Melayu?
Melayu sama Melayu dalam PKR “berbunuhan”. Melayu sama Melayu berbunuhan. Nak jaga pasal Melayu apa? Takkan bolehlah.
Saya fikir tak boleh. Sebab itu saya kembali. Jaga wadah. Memang ada kelemahan, bukan tak ada kelemahan. Memang ada kelemahan. Tapi saya tengok kelemahan ini, daripada dulu pun sama juga.
Nak dikaji satu persatu kelemahan ini saya ingat ratus bilion. Ratus bilion gone. Ratus bilion. Termasuk Forex, PKFZ, Perwaja, kalau kira semua bilion. Ratus bilion. Jangan cakaplah! – 6 Oktober, 2017.