Iklan

Bicara kes Jong-nam dipindah ke 'mahkamah terbuka' di Petaling Jaya

Radzi Razak7 years ago9th Oct 2017Berita
Vietnamese murder suspect in kim jong nam murder epa pic
Perbicaraan hari kelima kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong-nam akan diadakan Aras 1, Bangunan Utama Jabatan Kimia di Petaling Jaya selepas hakim mengarahkannya berpindah pada Khamis lalu. – Gambar EPA, 9 Oktober, 2017.
Iklan

HARI ke lima perbicaraan kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong-nam atau Kim Chol bermula hari ini dengan prosiding pagi bakal bermula di Aras 1, Bangunan Utama Jabatan Kimia di Petaling Jaya.

Wartawan tempatan dan antarabangsa berkumpul sejak jam 7 pagi di seberang jalan ke bangunan tersebut bagi menunggu kehadiran hakim, pasukan pendakwaraya dan peguambela.

Lewat malam semalam, polis mengeluarkan kenyataan menghalang media memasuki prosiding “open court” (mahkamah terbuka) di sini atas faktor keselamatan.

Khamis lalu, Hakim Azmi Ariffin mengarahkan prosiding berpindah ke sini selepas pihak peguambela mahu melihat pakaian milik kedua-dua tertuduh – Siti Aisyah dan Doan Thi Huong – yang dikesan mempunyai kesan senjata kimia VX sebelum diserahkan kepada mahkamah sebagai bukti.

Sepanjang minggu pertama perbicaraan, sebanyak lapan saksi sudah memberi keterangan, kesemuanya daripada pihak pendakwaan.

Pasukan pendakwaan yang diketuai  Timbalan Pendakwa Raya Mohd Iskandar Ahmad masih membina kes ini dengan cuba membuktikan Jong-nam yang menggunakan nama Kim Chol dalam pasportnya dibunuh dengan ejen saraf VX – senjata kimia yang dianggap paling berbahaya di dunia oleh dua wanita itu.

Sepanjang empat hari prosiding minggu lalu, hakim, peguambela, pemerhati dan wartawan mendengar kronologi kes dari saat Kim mengadu diserang dan disembur cecair misteri di muka ketika menunggu penerbangan ke Macau di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia 2) pagi 13 Februari lalu.

Saksi pertama, Lans Korporal Zulkarnain Sanudin menceritakan yang beliau bertemu Jong-nam di kaunter klia2 yang mahu membuat laporan polis kerana “diserang dua wanita tidak dikenali yang menyembur cecair di mukanya.”

Zulkarnain kemudiannya mahu membawa Jong-nam ke pondok polis tetapi beberapa ketika kemudian mengadu dan berkata “muka saya terbakar, saya tidak dapat melihat,” sebelum dibawa ke Klinik Menara di aras dua.

Zulkarnain menyatakan, apabila sampai di klinik, beliau yang menunggu di luar dapat melihat kakitangan klinik melakukan rawatan kecemasan ke atas mangsa.

Sedikit kekeliruan berlaku apabila Zulkarnian mengaku beliau tersilap apabila merekodkan Jong-nam sebagai rakyat Korea Selatan.

Saksi kedua, Juliana Idris pula berkata beliau yang bertugas di kaunter didatangi seorang lelaki berbadan gempal yang mahu bertemu polis kerana mengadu diserang.

Saksi ketiga, Rabiatul Adawiyah Mohd Sofi yang bertugas sebagai pembantu perubatan di Klinik Menara berkata Jong-nam seolah diserang sawan ketika menunggu rawatan di klinik berkenaan.

Saksi keempat, Dr Nik Mohd Adzrul Ariff Raja Azlan yang bertugas sebagai doktor klinik tersebut pula menyambung, mangsa kemudiannya tidak memberi respons kepada pasukan perubatan dan mereka menghantarnya ke Hospital Putrajaya tidak sampai sejam selepas tiba di klinik berkenaan.

Prosiding hari kedua pula berjalan dengan Dr Nik Mohd Adzrul menyambung keterangan beliau yang cuba menstabilkan Jong-nam.

Beliau berkata, pada satu ketika berjaya menstabilkan Jong-nam dengan proses intubasi selepas mendapati saluran pernafasan (trakea) mangsa dipenuhi campuran darah, muntah dan air liur selepas kadar penepuan oksigen mangsa turun mendadak.

Sementara itu, saksi kelima Pakar Patologi Kimia Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Nor Ashikin Othman pula mengaitkan keadaan Jong-nam selepas bedah siasat dijalankan dengan penggunaan VX.

Dalam keterangannya, beliau berkata tahap enzim Cholinesterase dalam badan mangsa amat rendah berbanding manusia sihat, dan itu konsisten dengan akibat pendedahan kepada agen saraf seperti VX ataupun racun serangga.

Sebaliknya, sampel yang diambil daripada Siti dan Doan Thi Huang adalah normal.

Cholinesterase merupakan enzim di dalam anggota badan yang mengawal otot dan koordinasi pergerakan tubuh badan. Kekurangannya menyebabkan otot dan jantung gagal berfungsi secara normal.

Saksi keenam, Ketua Bahagian Patologi HKL, Dr Mohd Shah Mahmood pula menjadi perhatian di prosiding hari kedua dan ketiga dengan menyatakan punca kematian amat konsisten dengan racun tersebut tanpa faktor lain.

Bagaimanapun, kedua pakar patologi tersebut berdepan soalan balas pasukan peguambela yang cuba membuktikan Jong-nam meninggal dunia kerana faktor selain VX.

Dr Mohd Shah yang mengeluarkan laporan bedah siasat itu turut menyatakan menjumpai Viagra dalam darah Jong-nam

Perbicaraan hari keempat pula menampilkan saksi kelapan dan pakar senjata kimia dari Malaysia Dr Raja Subramaniam yang mendedahkan kesan VX dijumpai di pakaian kedua tertuduh tersebut dan di bawah kuku Doan.

Siti Aishah dan Doan sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mereka dituduh di Mahkamah Majistret Sepang atas pembunuhan Jong-nam yang ketika itu sedang bersiap sedia menaiki pesawat ke Macau pada 9.00 pagi, 13 Februari.

Kematian Jong-nam itu disusuli krisis diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara, yang menafikan tuduhan pembabitan regim Pyongyang. – 9 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan