Kes Kim Jong-nam ditunda esok selepas saksi kepenatan
Iklan
PERBICARAAN hari kelima Kes Pembunuhan Kim Jong-nam ditamatkan awal hari ini selepas saksi kelapan Dr Raja Subramaniam mengadu keletihan selepas sesi mahkamah terbuka di Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya hari ini.
Dr Raja merupakan Ketua Bahagian Senjata Kimia dan Analisis jabatan itu menunjukkan bahan bukti seperti pakaian kedua-dua tertuduh Siti Aisyah dan Doan Thi Huong yang dikesan mengandungi racun kimia VX, kepada pasukan peguambela mereka.
Ketua pasukan peguambela Siti Aisyah, Gooi Soon Seng berkata hanya lima individu dibenarkan masuk ke makmal untuk meneliti bahan bukti satu persatu dengan yang lain termasuk pasukan pendakwaan dan Hakim Azmi Ariffin memerhati dari luar makmal kaca tersebut.
“Kes pada hari ini ditamatkan lebih awal apabila saksi kelapan mengadu selepas berada lebih satu jam di dalam makmal, untuk menunjukkan exhibit, bersama peguam Selvi Sandrasegaran yang mewakili Siti Aisyah dan tertuduh kedua, Doan untuk melihat baju LOL dan cebisan kuku.
“Mereka membuka plastik eksibit, dalam bungkusan material ‘opague’ (tidak lutsinar), dibawa keluar untuk dikenal pasti satu persatu dan pakar kimia (Dr Raja) meletakkan semula di dalam plastik,” kata beliau kepada wartawan selepas sesi itu berakhir kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Tiada keterangan direkodkan hari ini.
Sementara itu Selvi, salah seorang peguambela di bawah Gooi menyatakan beliau, Dr Raja, Doan dan dua pengawal yang membantu terpaksa memakai topeng respiratori, baju makmal dan sarung tangan kerana bimbang dengan kesan daripada ejen saraf VX- yang dianggap senjata kimia paling berbahaya di dunia.
“Keadaan di dalam amat panas. Ia memang memenatkan kami semua,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Peguambela Doan, Naran Singh mempersoalkan “blazer” milik Jong-nam yang tidak kelihatan walaupun mempunyai konsentrasi kesan VX paling tinggi mengikut laporan makmal sebelum ini.
“Kita tak diberikan maklumat, itu yang kita nak tanya esok,” kata beliau.
Sebelum ini seorang sumber Pejabat Peguam Negara memberitahu The Malaysian Insight bahawa semua pakaian Jong-nam telah dihantar kembali bersama mayatnya ke Korea Utara Februari lalu.
Perbicaraan esok akan disambung di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada jam 9 pagi.
Dr Raja memberitahu mahkamah Khamis lalu bahawa kesan VX ditemui pada jaket Jong-nam, baju LOL dan kuku Doan serta baju tanpa lengan Siti Aisyah.
Beliau turut mengatakan sampel yang disimpan di Makmal Jabatan Kimia itu masih mempunyai risiko kesan racun VX.
Siti Aishah dan Doan sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mereka dituduh di Mahkamah Majistret Sepang atas pembunuhan Kim Jong-nam yang ketika itu sedang bersiap sedia menaiki pesawat ke Macau pada 9.00 pagi, 13 Februari.
Semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), beliau didekati dua wanita yang menyemburnya dengan cecair, sementara seorang lagi melekapkan kain pada mukanya.
Kematian Jong-nam itu disusuli krisis diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara, yang menafikan tuduhan pembabitan rejim Pyongyang. – 9 Oktober, 2017.