Zakaria syukur kembali bertugas, komited tingkat prestasi FGV
Iklan
SELEPAS diumumkan akan menyambung semula tugas minggu depan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Global Ventures Bhd (FGV) Zakaria Arshad komited untuk terus mempertingkatkan prestasi kumpulan itu.
Zakaria yang juga presiden FGV berkata beliau menganggap episod yang berlaku sejak beberapa bulan lalu sebagai satu ujian Tuhan.
“Saya komited meneruskan Pelan Strategik 2020 (SP20) untuk meningkatkan prestasi kumpulan FGV, selari dengan matlamat Pengerusi FGV Azhar Abdul Hamid,” kata Zakaria kepada The Malaysian Insight.
“Saya bersyukur dengan keputusan Kementerian Kewangan (Diperbadankan) sebagai pemegang saham khas FGV untuk mengekalkan saya sebagai presiden dan CEO.”
Zakaria turut mengucapkan terima kasih kepada ahli lembaga pengarah FGV dan mereka yang menyokongnya sepanjang episod ini.
“Saya menganggap ini sebagai ujian Tuhan untuk menguatkan semangat saya bagi berkhidmat kepada FGV demi kebaikan pemegang saham dan pihak berkepentingan,” katanya.
FGV berkata hasil dapatan daripada siasatan dalaman membabitkan anak syarikatnya Delima Oil Products Sdn Bhd sudah dihantar kepada Kementerian Kewangan (Diperbadankan).
“Selepas mengambil kira program transformasi FGV dan komitmen serta jaminan GP/CEO untuk menyelesaikan hutang lama Safitex Trading LLC, Menteri Kewangan (diperbadankan), mahu Zakaria kembali bertugas sebagai CEO dan presiden kumpulan FGV,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Zakaria digantung tugas pada Jun bagi membolehkan FGV pihak pasukan audit dalaman menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dalam urusan antara Safitex dan Delima Oil Products Sdn Bhd, bernilai beberapa juta ringgit.
Zakaria digantung tugas bersama ketua pegawai kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha dan beberapa yang lain oleh pengerusi FGV Mohd Isa Samad.
Pada sidang media Isa membayangkan terdapat pelanggaran prosedur dalam urus niaga antara Safitex dan Delima Oil.
Pada hari berikutnya, Zakaria memberitahu pada sidang media bahawa beliau tidak lagi boleh bekerja bersama Isa dan salah seorang daripada mereka perlu meninggalkan FGV.
Zakaria kemudiannya meneruskan tindakan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 7 Jun.
Pada 15 Ogos, SPRM menahan Isa, yang ditukarkan ke Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, berhubung pembelian hotel d Kuching dan London oleh Felda Investment Corporation.
Suruhanjaya itu berkata FIC membeli sebuah hotel di Kensington, London antara 2013 dan 2015 dengan harga yang tinggi menyebabkan anak syarikat Felda itu menanggung kerugian jutaan ringgit.
FIC dilaporkan membeli hotel empat bintang berharga £60 juta (RM333 juta) pada 16 Disember, 2014 yang mana nilainya ketika itu RM110 juta.
Isa kemudiannya dibebaskan pada 20 Ogos dan tidak didakwa atas apa-apa tuduhan. – 9 Oktober, 2017.