Iklan

Kenapa atlet perahu naga tidak masuk Sukan SEA 2019?

The Malaysian Insight5 years ago27th Aug 2019Berita
Pg dragonboat loh-5242
Pasukan lumba perahu naga Malaysia dilaporkan menarik diri daripada Sukan SEA 2019 di Filipina, tindakan yang dipercayai dibuat presiden tanpa perbincangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2019.
Iklan

PASUKAN lumba perahu naga tidak akan menyertai Sukan SEA 2019 di Filipina pada November ini kerana kemelut dalaman Persatuan Kanu Malaysia (Masca) berhubung penyertaan pegawai kanan persatuan sebagai atlet dalam sukan dwitahunan itu.

The Malaysian Insight difahamkan kemelut dalaman Masca timbul selepas Presidennya Megat Daniff Shahriman Zaharudin tidak puas hati apabila namanya digugurkan daripada senarai wakil negara ke Sukan SEA nanti.

Megat Shahriman sebelum ini menyenaraikan namanya sendiri sebagai wakil negara tetapi tidak berjaya kerana tidak memenuhi syarat kelayakan ke Sukan SEA yang ditetapkan oleh Panel Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Timbalan Presiden Macsa Michael Wong Meng San berkata keputusan menarik pasukan lumba perahu naga itu dibuat oleh presiden tanpa dirujuk untuk kelulusan jawatankuasa eksekutif persatuan.

“Kita pun tidak tahu apa alasan sebenar presiden buat begitu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Wong, yang juga pengurus pasukan kanu dan bot tradisional ke Filipina, pada Jumaat lepas mengemukakan rayuan bagi pihak pasukan lumba perahu naga lelaki dan wanita Malaysia untuk dibenarkan bertanding sebagai atlet MOM.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Wong sebelum itu menghantar sepucuk surat kepada MOM, ISN dan MSN serta Kementerian Belia dan Sukan untuk memaklumkan kemelut dalaman persatuan berhubung senarai atlet ke Sukan SEA 2019.

Wong mengesahkan surat bertarikh 19 Ogos itu, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight.

Dalam pada itu, Wong juga memberitahu The Malaysian Insight, majoriti barisan kepimpinan Masca kini sudah hilang kepercayaan kepada Megat Shahriman untuk terus kekal menerajui persatuan.

“Sembilan dari 13 ahli jawatankuasa semalam (Isnin) buat undi tidak percaya kepada presiden. Kita akan hantar surat kepada MOM untuk maklumkan keputusan itu dan untuk MOM buat keputusan,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Megat Shahriman dilaporkan memberi alasan penyertaan pasukan lumba bot tradisional melibatkan kos yang besar.

Beliau sejak awal Jun lalu bagaimanapun memberitahu media akan menyertai pasukan lumba perahu naga di Filipina bukan untuk melengkapkan peserta tetapi membantu Malaysia menang sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Megat Shahriman juga pada masa itu memaklumkan beliau akan meningkat kecergasan fizikal dan menurunkan berat badannya sebelum Sukan SEA bermula.

Selain Masca, Megat Shahriman juga memimpin Persatuan Hoki Kuala Lumpur selepas beliau dan pasukannya menyapu bersih semua jawatan dalam pemilihan persatuan pada akhir Jun lalu.

Beliau juga bersaing dengan bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin untuk jawatan presiden Majlis Paralimpik Malaysia. Pemilihan yang sepatutnya berlangsung pada 29 Jun lalu ditangguhkan selepas timbul kontroversi berhubung kelayakan calon.

Megat Shahriman dilapor mempertikaikan pencalonan Khairy yang didakwa dikemukakan di luar tempoh yang ditetapkan. – 27 Ogos, 2019.

Iklan
Iklan