PKR bincang undang-undang pengislaman sebelah pihak
Iklan
UNDANG-UNDANG negeri untuk membenarkan pengislaman sebelah pihak di Selangor dijangka akan dibincangkan pada mesyuarat biro politik PKR yang akan turut dihadiri oleh Menteri Besar Amirudin Shari.
Amirudin yang turut memegang portfolio Hal Ehwal Islam akan membincangkan kandungan rang undang-undang yang menimbulkan kekecohan dalam kalangan sekutu PKR dalam pakatan pemerintah Pakatan Harapan, kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Parti itu akan menyatakan pendirian berhubung rang undang-undang berkenaan yang sepatutnya dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri pertengahan tahun. Ia bagaimanapun tidak sempat dibentangkan kerana sidang DUN ditangguhkan.
Rang undang-undang itu sepatutnya membenarkan kanak-kanak bawah umur menukar agama kepada Islam dengan kebenaran salah seorang ibu bapa, bertentangan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lalu bahawa pertukaran agama itu memerlukan kebenaran kedua-dua ibu apa.
Apabila didedahkan rang undang-undang itu akan dibentang, DAP yang merupakan parti komponen Pakatan Harapan berkata akan menghalangnya. Pakatan Selangor terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan Bersatu.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pendirian mereka berhubung pertukaran agama kanak-kanak bawah umur kepada Islam hanya boleh dibuat dengan persetujuan kedua-dua ibu bapa.
“Pendirian kami sangat jelas. Kami patuh kepada Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan di mana pertukaran agama anak bawah umur perlu dipersetujui ibu dan bapa,” kata Lim.
Dalam keputusan pada Januari tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa penukaran anak kepada Islam mesti mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.
Keputusan itu sekaligus mengakhiri pertikaian undang-undang yang berlarutan selama sembilan tahun antara guru tadika M. Indira Gandhi dan bekas suaminya, Muhammad Ridhuan Abdullah. Ridhuan secara sepihak telah menukar agama tiga anaknya kepada Islam.
Keputusan Mahkamah Persekutuan itu secara langsung membatalkan pertukaran agama tiga anak pasangan berkenaan.
Bagaimanapun, peguam mengatakan rancangan untuk membenarkan penukaran agama sepihak di Selangor tidak akan dikuatkuasakan kerana keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai penukaran unilateral akan menggantikan mana-mana undang-undang negeri.
Pada masa ini, enakmen yang dicadangkan di Selangor menyatakan mereka yang berusia bawah 18 tahun mesti mendapatkan persetujuan “ibu dan ayah” mereka sebelum memeluk agama Islam. Pindaan ini bertujuan mengubahnya menjadi “ibu atau bapa”. – 28 Ogos, 2019.