Kassim Ahmad mengajar kita bagaimana berfikir
Iklan
CENDEKIAWAN Islam dan penulis Kassim Ahmad mempunyai jasa yang besar kepada negara terutamanya dalam mengajar kita untuk “berfikir”, kata novelis prolifik Faizal Musa.
Beliau yang terkenal dengan nama pena Faisal Tehrani berkata, dalam cerpen-cerpen tulisan Kassim berjudul “Satu Cherita Biasa”, “Pertemuan” dan “Pengarang”, jelas menimbulkan tentang perkara ini.
“Antara lain Kassim mengajak dengan halus para cendekiawan, siswa dan seniman untuk melakukan perubahan dalam masyarakat; kata kunci Kassim mudah – berfikir,” kata Faizal kepada The Malaysian Insight.
“Berfikir sangat penting. Di negara ini berfikir adalah kesalahan. Sekolah melarang berfikir. Masjid melarang berfikir. Mufti melarang berfikir. Surat khabar melarang berfikir.”
Kassim meninggal dunia di Hospital Besar Kulim pukul 10 pagi ini selepas tidak sedarkan diri sejak awal pagi semalam.
Anak lelakinya, Ahmad Shauqi Kassim mengesahkan pemergian bapanya itu kepada The Malaysian Insight.
Kassim menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 84 tahun.
Faizal berkata, Kassim adalah mangsa kekolotan dan kejumudan atau terhentinya masyarakat kita yang berfikir.
“Sasterawan melarang berfikir. Menteri melarang berfikir. Majikan melarang berfikir.
“Sayang sekali, Kassim yang meminta dan mengajak kita berfikir (walau ia tidak disetujui) telah dinafikan haknya,” kata Faizal yang baru-baru ini diharamkan bukunya.
Sementara penulis dan penyajak Pyanhabib Rahman berkata, di Malaysia, manusia seperti Kassim adalah manusia kritikal, ideanya berani.
“Dia mendahului sekali gus pencetus polemik.
“Apa saja isu yang dia sentuh, akan diperhati, mencetus pelbagai tanggapan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Shauqi sebelum ini dilaporkan berkata bapanya yang uzur dan berkerusi mengalami tekanan kerana naik turun mahkamah setelah didakwa menghina Islam oleh Jabatan Agama Wilayah Persekutuan.
Hanya dua bulan lepas, Mahkamah Syariah melepas dan membebaskan beliau daripada tuduhan.
Kassim mengharungi cabaran selama tiga tahun selepas dituduh menghina Islam dan ingkar fatwa yang dikeluarkan oleh Wilayah Persekutuan dalam sebuah seminar pada Februari 2014.
Beliau ditangkap di rumahnya di Kulim, Kedah pada Mac 2014. Beliau dibawa ke Kuala Lumpur dan didakwa atas dua tuduhan itu.
Selepas naik turun mahkamah mencabar bidang kuasa pihak berkuasa agama Wilayah Persekutuan, mahkamah Ogos lalu melepas dan membebaskannya daripada semua tuduhan.
Sementara bekas pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Abdul Rahman Maidin berkata, Kassim adalah seorang cendekiawan, intelektual negara yang mendahului masanya.
“Beliau adalah sasterawan yang memperjuangkan politik kebangsaan melaui pemikiran yang mendalam mengenai politik, budaya dan Agama.
“Kesanggupan beliau melalui pengorbanan peribadinya meletakkan beliau di tahap yang tinggi dalam perjuangan tanah air dan kemanusiaan. Perjuangan bagi beliau adalah suatu pengorbanan yang tidak ada noktahnya,” katanya. – 10 Oktober, 2017.