Iklan

Keluarga Kassim arahkan peguam tuntut ganti rugi daripada Jawi

Amin Iskandar7 years ago10th Oct 2017Berita
Iklan

PEGUAM Rosli Dahlan diarahkan keluarga Kassim Ahmad untuk menuntut ganti rugi daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana mereka percaya pendakwaan terhadap cendekiawan Islam itu memburukkan keadaan kesihatannya.

Keluarga Kassim mahu Rosli membuat tuntutan kepada Jawi melalui prosedur mahkamah.

“Ya. Saya diarahkan keluarga untuk berbuat demikian,” kata Rosli kepada The Malaysian Insight.

Menceritakan kronologi kes Kassim dan Jawi, Rosli berkata, pada 2014, cendekiawan Islam itu dijemput menghadiri forum Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya. 

“Topiknya ialah ‘Hadis: Satu Penilaian Semula’ dan ‘Hadis: Jawapan kepada Pengkritik’. 

“Media melaporkan tentang ucapannya dan selepas itu Kassim berdepan dengan pelbagai siri pendakwaan Jawi,” katanya.

Rosli berkata, pada 26 Mac 2014, pegawai-pegawai Jawi menyerbu rumah Kassim di Kulim, Kedah.

“Jawi datang dengan 13 kenderaan, memecahkan pintu rumahnya dan memalukan Kassim di depan isteri dan cucunya.

“Gambar dan videonya dirakamkan tanpa kebenarannya, ditahan secara tidak sah dan dibawa menaiki van selama 6 jam ke Lapangan Terbang Pulau Pinang sebelum dipaksa menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur,” kata Rosli.

Rosli berkata, Kassim yang dilahirkan 9 September 1933 dan meninggal dunia pada hari ini adalah anak kepada seorang guru agama bernama Ahmad Ishak.

“Pengetahuan agamanya sangat mendalam.

“Sepanjang episod ini Kassim terus cekal tetapi kesihatannya semakin teruk. 

“Anak perempuannya Soraya dan anak lelakinya Shauqi menyalahkan Jawi menyebabkan kesihatan Kassim semakin buruk dan terpaksa ke mahkamah di Putrajaya dari Kulim setiap kali perbicaraan mahkamah,” katanya.

Menurut Rosli, anak-anak Kassim mahukan Jawi bertanggungjawab terhadap kematiannya. – 10 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan