20,000 manuskrip Melayu lama sedang giat dikumpul Perpustakaan Negara
Iklan
MISI mengumpulkan lebih 20,000 manuskrip berkaitan ketamadunan Melayu di seluruh dunia bagi membetulkan sejarah sebenar ketamadunan Melayu yang didominasi sarjana barat menjadi keutamaan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)
Usaha pengumpulan manuskrip berharga itu didedahkan oleh Ketua Pengarah PNM, Nafisah Ahmad hari ini.
Beliau juga mengatakan sebuah pangkalan data induk untuk manuskrip tersebut akan diwujudkan supaya koleksi berharga itu dapat diakses oleh semua peringkat masyarakat untuk kajian dan pembelajaran dan bukanlah hak milik ekslusif orang-orang tertentu semata.
“Tahun hadapan kita sasarkan untuk ada sebuah pengkalan data induk manuskrip Melayu. Walaupun kita masih tak ada salinannya tapi kita dapat kesan kewujudannya. Dua tahun lalu kita dapat kesan lebih 20,000 manuskrip di seluruh dunia dan hanya 4884 sahaja naskah asal yang disimpan di sini.
“Di Rusia ada, di Algeria ada di German ada. Kita akan teruskan usaha pengesanan manuskrip ini,” kata beliau selepas Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2017 hari ini.
Beliau berkata setakat ini, PNM hanya mempunyai 4884 manuskrip asal dan kira-kira 2,000 salinan yang dikumpulkan dari seluruh dunia.
Mengikut definisi PNM, Manuskrip Melayu adalah karya yang bertulis tangan dalam tulisan Jawi yang dihasilkan dalam lingkungan awal abad ke-16 sehingga awal abad ke-20.
Ilmu yang terakam dalam manuskrip Melayu merangkumi pelbagai bidang perkara seperti kesusasteraan, sejarah,undang-undang,warkah,perubatan tradisional, syair dan nazam, kitab agama, ketatanegaraan, petua, azimat, kitab ramalan dan pelbagai lagi cabang ilmu.
Nafisah turut mengatakan pihaknya kini bekerjasama dengan pelbagai institusi pengajian tinggi termasuk di luar negara bagi tujuan pengesanan, pengesahan dan carian manuskrip-manuskrip tersebut.
“Antaranya ialah Institut Kajian Diraja Asia Tenggara dan Caribbean (KITLV) Leiden, Belanda, Universiti Kajian Luar Beijing (BFSU) serta Ohio Universiti, Amerika Syarikat yang turut terlibat mengesan manuskrip yang mempunyai tulisan Jawi kepada kami,” kata beliau.
Masalah paling besar dihadapi Nafisah adalah kekangan bajet yang merupakan sebilangan kecil diambil daripada bajet pengurusan PNM sendiri.
Selain itu, kekurangan ahli filologi iaitu mereka yang pakar dalam kajian manuskrip lama dengan kemahiran tinggi membaca teks Melayu dalam tulisan jawi lama juga antara kekangan yang dihadapi PNM. Tetapi, usaha untuk mengadakan kelas tulisan jawi lama bagi meningkatkan individu yang berkemahiran itu akan diadakan tahun depan.
“Masalah kedua ialah kami tiada banyak ahli filologi dan banyak bergantung kepada Dr Harun Mat Piah (pengerusi penasihat PNM) dan pasukan penyelidik. Tanpa mereka kami tak boleh bergerak. Nak baca manuskrip sendiri kekangan.
“Kami akan adakan program tahun depan kelas belajar baca jawi lama. Selain itu ahli filologi juga perlu belajar bagaimana menilai kertas, Insya Allah kami cuba pertingkatkan,” kata beliau.
Antara manuskrip paling bernilai yang kini dipamerkan di PNM ialah Bustan-as-Salatin (Taman Raja-raja) yang ditulis oleh Syekh Nuruddin Al-Raniri seorang pendakwah dari Gujerat, India yang bekerja dan melawat Sultan di Acheh dan Nusantara.
Ahli akademik dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pusat Manuskrip Melayu Dr Harun Mat Piah pula mengatakan terdapat banyak manuskrip tidak ternilai yang akan dikupas pada persidangan tiga hari dan bermula hari ini itu.
“Saya mengambil satu dua contoh naskah yang dikeluarkan pada 1639 dari Syeikh Nuruddin al-Raniri di Acheh. Bustan as-Salatin. Mengenai perubatan. Bila pengkaji baca sekarang ia memuatkan asas terbaik ilmu sains perubatan Melayu. Malah ia boleh menjadi rujukan perubatan selain (rujukan) sejarah masa kini,” kata beliau.
Persidangan tiga hari ini menampilkan 162 peserta yang terdiri daripada ahli akademik daripada Malaysia dan Indonesia dan mengupas manuskrip-manuskrip yang telah berjaya dijumpai seperti resepi masakan lama termasuk resepi nasi beriani yang berusia lebih 200 tahun daripada Pontianak, Indonesia.
Antara manuskrip lama yang bernilai tinggi disimpan PNM termasuklah Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang. – 10 Oktober, 2017.