Iklan

Penganjur teruskan himpunan di Padang Timur walau polis tidak setuju

Radzi Razak7 years ago11th Oct 2017Berita
Mohamad sabu 250717 tmiseth 02
Pengarah sekretariat himpunan 'Sayangi Malaysia, Hapuskan Kletokrasi', Mohamad Sabu berkata mereka masih tetap ingin berhimpun di Padang Timur kerana tidak mempunyai masa menukar lokasi dan mencari tempat alternatif bagi perhimpunan yang bakal berlangsung empat hari lagi itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2017.
Iklan

PAKATAN Harapan (PH) akan tetap meneruskan himpunan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Padang Timur, Petaling Jaya pada Sabtu ini walaupun polis tidak bersetuju dengan pemilihan lokasi ia diadakan

Pengarah sekretariat himpunan, Mohamad Sabu berkata mereka masih tetap ingin berhimpun di situ kerana tidak mempunyai masa menukar lokasi dan mencari tempat alternatif bagi perhimpunan yang bakal berlangsung empat hari lagi itu.

“Kami ada persetujuan dengan pemilik premis ini (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) dan kerajaan negeri (Selangor) yang mengatakan tempat ini sesuai.

“Kerana ia berbentuk festival, orang datang keluar masuk. Ia jadi tempat santai orang ramai. Peralatan sistem bunyi dan sebagainya sudah ditempah. Kami akan terus adakan himpunan 14 Oktober ini di premis berkenaan.

“Kami juga akan tamatkan himpunan pada jam 11 malam supaya orang boleh balik naik LRT,” kata beliau dalam sidang media hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohd Zani Che Din menghantar surat kepada Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya Lim Yi Wei sebagai wakil pemilik premis Padang Timur yang mereka tidak bersetuju dengan penggunaan temapt tersebut.

Menurut polis, himpunan itu bakal menghalang laluan penumpang dan bas penghubung kepada Stesen LRT Taman Jaya yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat itu.

Selain itu, Zani turut menyatakan Jalan Timur – yang terletak bersebelahan padang itu merupakan laluan utama Sitem Penyuraian Trafik Sehala Petaling Jaya (PJ One Way Traffic System) dan sebarang gangguan padanya akan memberi kesan kepada seluruh laluan lain.

Bagaimanapun Mohamad yang juga presiden Amanah berkata pihaknya akan bekerjasama terus dengan pihak polis dan MBPJ bagi memastikan aliran trafik terurus.

“Sebarang kerjasama tentang aliran kenderaan, kami penganjur akan bekerjasama dengan polis, MBPJ dan sebagainya.

“Kita ada 700 petugas bersama ahli jawatankuasa majlis perbandaran dan dengan kerjasama pihak polis, ia mencukupi untuk menjaga aliran trafik,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata pihak polis sepatutnya membantu melancarkan himpunan aman rakyat dan bukannya cuba menghalang mereka yang cuba memenuhi permintaan dalam Akta Perhimpunan Aman (PAA).

“Kami telah menghormati peraturan pemberitahuan di bawah PAA. Padang Timur juga paling sesuai kerana akses orang ramai kepada LRT dan ia akan banyak mengurangkan kesesakan.

“Padang pula dengan mudah boleh memuatkan 50,000 peserta. Jadi, persoalan ia tidak sesuai tidak patut timbul,” katanya.

Setiausaha Antarabangsa Pemuda DAP, Howard Lee turut mengajak semua pengunjung menggunakan LRT ke himpunan tersebut kerana ia boleh memudahkan lagi aliran trafik.

“LRT terakhir akan lalu 18 minit selepas tengah malam.

“Kami juga sediakan peta, dan panduan untuk semua pengunjung di laman Facebook dan media sosial,” kata beliau. – 11 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan