Iklan

Harga tinggi punca rakyat tak mampu miliki rumah, kata laporan

Sharon Tan7 years ago11th Oct 2017Berita
Telawi 060915 tmiseth 02
Menurut anggaran Bank Negara Malaysia, terdapat kekurangan sebanyak 960,000 unit rumah mampu milik dan ia dijangka mencecah satu juta unit menjelang 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2017.
Iklan

HARGA yang tinggi bagi rumah menambah keresahan rakyat Malaysia yang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup, memandangkan perumahan mampu milik menjadi isu utama untuk ditangai kerajaan Perdana Menteri Najib Razak, lapor Bloomberg.

Menurut anggaran Bank Negara Malaysia (BNM), terkini terdapat kekurangan sebanyak 960,000 unit rumah mampu milik dan ia dijangka mencecah satu juta unit menjelang 2020.

Bank pusat itu menafikan dakwaan akses terhad kepada pembiayaan menghalang pemilikan rumah, dan sebaliknya mengatakan industri hartanah harus meningkatkan usaha untuk mengurangkan kos dan mempercepatkan proses pembinaan.

“Ia adalah isu tidak mempunyai pendapatan mencukupi dan rumah yang terlalu mahal,” kata Gabenor BNM, Muhammad Ibrahim pada persidangan Ogos lalu, mengulangi yang “masalahnya bukan mengenai akses kepada kredit” dan pemberi pinjaman “mesti mempunyai keberanian  mengatakannya dengan dengan jelas kepada orang ramai “.

“Ini merupakan isu yang sangat penting bagi Perdana Menteri Najib untuk ditangani,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Wan Saiful Wan Jan.

“Saya tertanya-tanya apa yang boleh dilakukan oleh Najib selain memberikan subsidi yang banyak, pada tahap yang kerajaan juga mungkin tidak mampu melakukan.”

Harga rumah median di Malaysia adalah 4.4 kali pendapatan isi rumah tahunan median dalam data terkini, menjadikan pasaran perumahan “tidak terjangkau” berbanding piawaian global, menurut laporan 2015 oleh Institut Penyelidikan Khazanah yang dikendalikan oleh kerajaan.

Pendapatan median isi rumah tahunan dianggarkan kira-kira RM63,000.

Laporan itu mengklasifikasikan pasaran berpatutan sebagai satu dengan gandaan median sebanyak tiga kali. Hanya 20% rumah yang dilancarkan pada suku pertama tahun ini berharga kurang daripada RM250,000.

Menurut BNM, angka ini lebih rendah daripada 33% antara 2010 dan 2014. Sebahagian besar rumah baru berharga antara RM250,000 hingga RM500,000. Sebaliknya, kadar pinjaman kekal pada 3% sejak tahun lepas.

Paul Selvaraj, setiausaha agung Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia, berkata pemaju sepatutnya melihat industri mereka sendiri dan tidak menyalahkan pilihan syarat pinjaman yang ketat terhadap pasaran lemah.

“Fokus perlu diberi kepada membina rumah yang mampu dimiliki orang, tidak membina rumah mahal dan kemudian cuba menjualnya, dan kemudian mengadu bank tidak memberi pinjaman,” katanya sebagaimana dipetik Bloomberg.

“Punca orang ramai mempunyai masalah mendapatkan pinjaman adalah kerana rumahnya tidak mampu dimiliki. Ia melebihi kemampuan pembayaran balik mereka,” katanya.

Sesetengah pemaju perlahan-lahan mula memenuhi permintaan. Mah Sing Group Bhd, pemaju ketiga terbesar negara, menjual pangsapuri dalam jarak 5km dari pusat bandar Kuala Lumpur dengan harga bermula daripada RM328,000 untuk unit bersaiz 650 kaki persegi. Ia merupakan dalam kemampuan harga maksimum pendapatan median sebuah keluarga di bandar.

Najib berjanji akan memberi tumpuan kepada meningkatkan taraf hidup apabila beliau membentangkan Bajet 2017 pada 27 Oktober.

Beliau mungkin mengumumkan peningkatan jumlah rumah mampu milik yang dibina oleh syarikat berkaitan kerajaan, pelepasan cukai untuk pemaju swasta dan subsidi bagi pembeli rumah mampu milik, kata Institut Penyelidikan RHB bulan lepas. – 11 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan