Peguam cadang 3 perkara elak pendakwaan tidak adil dan penindasan politik
Iklan
PEGUAM dan aktivis Syahredzan Johan mencadangkan agar kuasa peguam negara dipisahkan bagi mengelak timbul konflik kepentingan dalam tugas pendakwaan terhadap kerajaan.
Menurut Syahredzan, perkara itu telah lama dilakukan oleh negara Komenwel seperti United Kingdom dan Australia. Pemisahan ini akan berjaya mengelakkan perkara seperti kontroversi 1MDB berulang.
“Sekarang tugas peguam negara ialah menjadi penasihat undang-undang kerajaan dan juga menjadi pendakwa raya semua kes. Dan ia bergantung kepada budi bicara yang mutlak.
“Perlu ada dua invididu berbeza dalam kedua hal ini. Di UK, terdapat ‘Crown Prosecution Service’ yang diketuai oleh pengarah pendakwa raya dan dipantau oleh peguam negara. Bagaimanapun peguam negara tidak boleh masuk campur dalam urusan pendakwa raya,” kata beliau dalam forum Solidariti Untuk Tian Chua: Penindasan Politik Masa Kini pada malam tadi.
Syahredzan turut menyatakan pemisahan kuasa ini membolehkan rakyat tidak keliru seperti apa yang terjadi selepas beberapa pihak menyiasat mengenai kontroversi skandal 1MDB yang dipengerusikan oleh perdana menteri sendiri.
“Dalam kes 1MDB, perdana menteri kata beliau tidak boleh memberikan komen atas nasihat peguam negara, tetapi dia (peguam negara) sendiri yang tentukan sama ada nak dakwa atau tidak,” kata beliau.
Selain itu, Syahredzan turut mencadangkan pindaan terhadap Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa mutlak peguam negara untuk membuat pendakwaan dengan membolehkan pendakwaan tersebut disemak mahkamah.
“Dalam kes 1MDB juga kita lihat tiga pihak cuba membawa peguam negara ke mahkamah tetapi gagal mendapatkan ‘locus standi’ dalam hal tersebut kerana kuasa (peguam negara) mutlak,” kata beliau.
Perkara 145 (3) menyatakan “peguam negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera. Kuasa budi bicara yang diberikan kepada peguam negara di bawah Perkara 145(3) adalah mutlak, tidak boleh dicabar atau digantikan oleh mana-mana kuasa termasuk mahkamah.”
Syahredzan turut mahukan agar jawatan peguam negara diberikan jaminan kedudukan seperti hakim agar mereka tidak mempunyai sebarang kepentingan untuk “berlaku baik” dengan individu yang boleh melantik dan memecat mereka yang memegang jawatan tersebut.
Bagaimanapun beliau berkata perubahan hanya boleh dilakukan oleh kerajaan yang mempunyai keinginan politik yang tinggi bagi membuat reformasi institusi.
“Saya tak lihat kerajaan sekarang mempunyai ‘political will’ (keinginan politik) bagi memastikan sebarang reformasi institusi berlaku,” tambahnya. – 11 Oktober, 2017.