Bersih tidak pernah memihak sesiapa, kata Maria
Iklan
PENGERUSI Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata pemantau pilihan raya itu tidak pernah bersikap apolitikal dalam perjuangan mereka, tetapi kerajaan Barisan Nasional (BN) dilihat langsung tidak mempunyai keinginan politik untuk membuat penambahbaikan dan memastikan pilihan raya berjalan dengan bersih dan adil.
“Memang Bersih tidak apolitikal (tidak berpihak dalam politik) selama ini. Kami menuntut pilihan raya bersih dan adil. Kita nampak kerajaan sekarang ini seolah tidak peduli,” kata beliau dalam forum Solidariti Untuk Tian Chua:Penindasan Politik Masa Kini malam tadi.
Maria berkata demikian menjawab soalan daripada hadirin yang hadir mengenai mengapa Bersih nampak lebih rapat dengan Pakatan Harapan (PH) berbanding BN.
Maria yang menjadi ahli jawatankuasa Bersih sebelum menjadi pengerusinya dua tahun lalu turut meminta PH agar melaksanakan polisi yang diminta mereka, termasuk memecat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Mohd Hashim Abdullah sekiranya memenangi pilihan raya umum akan datang.
“Dia (Hashim) tak buat kerja. Pakatan perlu menguatkan institusi seperti SPR dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menjadikan negara lebih baik,” kata beliau.
“Kita mesti meletakkan sempadan (untuk berpihak). Kekal dengan permintaan kita untuk memastikan perlawanan sama rata (dalam pilihan raya). Sekiranya persempadanan semula (oleh SPR) ini diluluskan, ia akan memberi kemenangan terus kepada mereka (BN),” tambahnya memberi contoh betapa institusi pilihan raya telah disalahguna oleh BN.
Sentimen itu turut disokong oleh Syahredzan yang mengatakan perlu untuk berpihak bagi memastikan perubahan positif berjaya dilaksanakan.
“Tidak perlu untuk menyayangi mereka (PH) untuk menyokong, Tapi perubahan perlu dilakukan,” kata beliau.
Sementara itu Ahli Parlimen Bagan Serai N Surendran daripada PKR berjanji partinya akan memastikan perubahan dilakukan.
“Kami (PH) lah yang menderita selama ini kerana polisi dan ketidakadilan yang dilakukan oleh mereka (BN). Kita mesti ubah,” kata beliau.
Tian Chua dihukum penjara sebulan selepas beliau menarik balik rayuan kesnya berkaitan kegagalan mematuhi arahan polis supaya mengosongkan kawasan larangan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada 2012.
Beliau memulakan hukumannya 29 September lalu. – 11 Oktober, 2017.