PM mahu rakyat Malaysia kurangkan lemak badan
Iklan
PERDANA Menteri Najib Razak mahu rakyat mengurangkan lemak dalam badan kerana statistik menunjukkan kadar obesiti Malaysia merupakan tertinggi di Asia.
Najib berkata, cara pemakanan rakyat Malaysia dan sikap tidak gemar bersukan merupakan punca mengapa kadar obesiti di Malaysia tinggi.
“Kita tak suka bersukan. Kita mesti bersukan. Jangan banyak lemak badan. Saya pun kena kurangkan lemak badan,” kata Najib sambil memegang perutnya.
“Badan saya kena macam saudara Khairy (Jamaluddin). Slim… Tapi makan masa, tak apa saya bersukan InsyaAllah,” kata Najib semasa berucap merasmikan Hari Sukan Negara di Kuala Lumpur hari ini.
Najib merujuk kepada Khairy yang juga menteri belia dan sukan.
Najib berkata, satu kajian yang dilakukan oleh majalah Economist menunjukkan kadar obesiti rakyat Malaysia adalah yang tertinggi di Asia.
“Kenapa? Sebab kita suka makan. Kita suka pada roti canai. Kita suka pada nasi lemak. Kita suka pada teh tarik,” katanya.
Najib turut menyeru generasi muda supaya tanamkan minat bersukan kerana ia bukan sahaja dapat menjaga kesihatan tetapi turut membantu memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
“Tapi generasi baru mesti bersukan. Kerana sukan banyak faedahnya. Negara kita negara apa?
“Negara berbilang kaum. Wadah terbaik untuk memupuk perpaduan apa dia? Sukan,” katanya.
Najib memberikan contoh perlawanan separuh akhir bola sepak Sukan Sea antara Malaysia dan Indonesia baru-baru ini yang mana pasukan negara terdiri daripada pelbagai kaum. – 14 Oktober, 2017.