Memo kepada penguasa
Iklan
ADA semacam satu trend baru, semacam sebuah sandiwara yang ditulis semula, untuk menggambarkan pihak berkuasa itu saksama: bahawa mereka menangkap orang tanpa mengira sesiapa.
Itulah yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Polis pun sama begitu.
Ingat lagi exco negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh yang ditahan oleh SPRM pada Ogos lalu berhubung dakwaan rasuah kerana membenarkan sebuah kilang haram terus beroperasi.
Beberapa hari kemudian, Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Isa Samad juga ditangkap oleh SPRM bagi siasatan berhubung Felda Global Ventures (FGV).
Minggu ini, dua hari selepas pegawai dakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin ditahan kerana menghasut, pegawai penerangan kerajaan negeri Pulau Pinang dan pendakwah, Wan Ji Wan Hussin pula diseret bersabit satu kenyataannya yang dibuat empat tahun lalu.
Ini memo kepada penguasa: rakyat Malaysia tidaklah sebegitu mudah diolok-olok.
Kami faham konsep keadilan dan kebenaran lebih daripada mereka yang menduduki kerusi kuasa.
Dari jauh kami sudah boleh menghidu; kami tahu sama ada sesuatu itu dibuat-buat dan kami tahu mengesan setiap kebusukan.
Sekarang ini, akan ada lagi mereka yang dekat dengan Umno yang dijangka terseret dalam siasatan SPRM di Sabah. Agensi anti rasuah itu dituduh main politik apabila memburu bekas menteri kabinet, Shafie Apdal dan rakan-rakannya dalam Parti Warisan Sabah.
Media arus perdana Malaysia memberikan gambaran beberapa pemimpin politik Umno akan turut dicekup berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan yang disalurkan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Alangkah naifnya untuk percaya bahawa penangkapan beberapa orang Umno tiba-tiba saja menjadikan siasatan itu adil dan wajar. Sungguh naif kalau ada yang beranggapan begitu.
Penangkapan orang Umno hanya akan menunjukkan kepada rakyat Malaysia hakikat bahawa dakwaan terhadap Shafie dan lain-lain berlaku ketika mereka bersama dengan Umno.
“Jenayah” itu hanya dibongkar selepas mereka meninggalkan parti.
Satu lagi peringatan kepada penguasa: rakyat Malaysia boleh berfikir.
Sama seperti Suruhanjaya Siasatan Diraja terhadap mata wang asing Bank Negara tiga dekad lalu, siri penangkapan yang sedang berlaku sekarang hanya untuk memburuk-burukkan mereka yang mungkin mengancam kedudukan kerajaan yang memerintah.
Ahli politik seperti Shafie Apdal dan Dr Mahathir Mohamad sudah lama dalam gelanggang, dengan sebahagian besar jam pengalaman politik itu di sebelah Umno. Mereka boleh membunyikan semboyan untuk sokongan menggempurkan bekas parti mereka itu.
Hanya baru sekarang mereka dikecam dalam media arus perdana selepas bertahun-tahun dipuja cukup untuk menggambarkan betapa gerunnya kerajaan yang memerintah dengan mereka. Makanya, inilah sekarang kerja-kerja mengorek masa lalu, membongkar “jenayah” lama dan menconteng arang pada nama baik mereka.
Adakah ini akan berjaya? Atau apakah ia akan jadi senjata makan tuan kerana yang ternampak seolah-olahnya dendam dan sabotaj untuk memastikan mereka tidak dapat merungkaikan cengkaman kekuasaan parti pemerintah.
Kalaulah pihak berkuasa betul-betul mahu menyiasat jenayah, masa lalu dan sekarang, dengan bersungguh-sungguh, siasatlah semua peruntukan dan kontrak yang diberikan oleh semua kementerian. Siasatlah mereka yang menguruskan syarikat kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Strategic Resources Corporation (SRC), dan cari punca kenapa sebahagian wang itu masuk ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
Sementara itu, keluarkanlah laporan Akauntan Negara mengenai 1MDB. Apatah lagi, slogan kerajaan 1Malaysia ini ialah Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Kejayaan kerajaan Barisan Nasional ialah melahirkan lebih banyak orang yang boleh berfikir dengan bebas dan mandiri, dan tidak menelan bulat-bulat apa saja yang disuapkan ke otak mereka.
Mereka tahu yang mana satu wayang dan yang mana bukan, terutamanya kalau melibatkan sandiwara politik. – 14 Oktober, 2017.