Khaled Nordin disebut-sebut calon BN PRK Tanjung Piai
Iklan
KHALED Nordin adalah antara nama yang disebut-sebut akan menjadi calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.
Penyokongnya percaya kewibawaan dan pengalaman bekas menteri besar Johor itu akan menjadi kelebihan besar kepada pembangkang dalam usaha merampas kembali Tanjung Piai daripada Pakatan Harapan.
Pada Januari 2018, sebuah tinjauan dibuat Merdeka Centre dalam kalangan penduduk Johor mendapati 58% responden berpuas hati dengan prestasi Khaled sebagai menteri besar. Malah dalam kalangan responden Melayu, kadar sokongan terhadapnya mencecah 78%.
Manakala, 80% responden kajian juga berkata mereka berpuas hati dengan pentadbiran Khaled, 68% pula ketika itu berpandangan Johor “berada dalam landasan tepat”.
Kejatuhan BN di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu adalah disebabkan gelombang menentangnya yang melanda seluruh negara, kata penganalisis politik Mohd Azlan Zainal.
Sumber dalaman BN berkata walaupun kekuatan Khaled sukar dinafikan, wujud halangan untuknya menjadi calon dan kegagalan mengatasinya boleh menjejaskan pakatan pembangkang itu.
Antara cabaran utama adalah Khaled adalah daripada Umno- parti nasionalis Melayu yang mendominasi BN- sedangkan Tanjung Piai secara tradisi dipegang oleh sekutu rapatnya, MCA.
Sudah wujud desakan dalam Umno Johor supaya parti itu bertanding di Tanjung Piai, kerana ia adalah kubu kuatnya dan fakta kukuh bahawa kebanyakan pengundi Melayu yang membentuk 57% daripada jumlah keseluruhan pemilih menyokong BN pada PRU14 lalu.
Pada PRU14 lalu, calon BN Wee Jeck Seng (MCA) kalah mengejut di kawasan itu kepada Md Farid Md Rafiq (PH) dengan marjin 524 undi.
Umno Bahagian Tanjung Piai sudah mengumumkan mereka mahu bertanding di kerusi itu.
Menurut mereka yang mahukan Umno bertanding, BN kalah di Tanjung Piai kerana kebanyakan 42% pengundi Cina kawasan itu memberikan undi mereka kepada PH pada PRU14 lepas.
“Sokongan orang Cina nampaknya masih belum kembali kepada BN dan kawasan itu memang sentiasa jadi kubu kuat Umno. MCA bergantung kepada kami,” kata Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed.
“Jentera kita memang sentiasa bersiap-sedia dan hanya menunggu masa untuk digerakkan semula,” kata bekas ahli Parlimen Pulai itu.
Jazlan mengesahkan Khaled adalah antara nama yang dipertimbangkan untuk mewakili BN di PRK Tanjung Piai.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Lau Zhe Wei pula berkata, MCA masih belum berjaya meraih kembali sokongan orang Cina apatah lagi selepas termeterainya piagam politik Umno-PAS pada 14 September lalu.
Piagam Muafakat Nasional itu dianggap ramai pengkritik sebagai cubaan mengangkat naratif nasionalis Melayu Islam untuk menentang agenda Bangsa Malaysia diterajui PH.
Azlan dari Ilham Centre, bagaimanapun berkata, merampas kerusi itu daripada MCA boleh menjadi bukti bahawa Umno terus membuli rakan sekutu BN ketika pakatan pembangkang itu sedang bergelut mencari sebab untuk terus berpadu.
Tanggapan bahawa MCA dan MIC tidak membela orang Cina dan India yang diwakili mereka adalah salah satu punca kedua-dua parti itu dikalahkan pengundi pada PRU14.
Sekiranya Umno mengambil kerusi MCA, ia juga akan menimbulkan konflik mesej muafakat nasional yang diangkat parti nasionalis Melayu itu menerusi kerjasamanya dengan PAS, kata Azlan lagi.
“Umno dan PAS sudah mengumumkan yang kerjasama politik mereka bertujuan untuk muafakat nasional dan mereka mahukan sokongan semua kumpulan etnik.
“Jika Umno ambil kerusi MCA, akan ada konflik dalam mesej muafakat nasional itu.”
Satu lagi cabaran dihadapi Khalid adalah beliau masih “orang luar” di Tanjung Piai walaupun cukup dikenali di Johor, kata seorang pegawai Umno Johor.
“Pilihan raya kecil selalunya bersifat setempat dan kerana itulah kita selalu meletakkan calon tempatan yang tahu kawasan dan penduduknya,” katanya yang bercakap atas dasar kerahsiaan identiti.
Azlan daripada Ilham Centre juga menyuarakan pandangan sama, berkata calon BN yang kalah sebelum ini, Wee Jeck Seng adalah ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal dan orang tempatan.
“Wee ada pengaruh di Tanjung Piai. Beliau dikenali ramai dan diterima orang Melayu dan Cina.”
PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Md Farid daripada PH. – 24 September, 2019.