Iklan

Tanda tanya selepas keputusan inkues Adib

The Malaysian Insight5 years ago27th Sep 2019Berita
Iklan

KEPUTUSAN Mahkamah Koroner hari ini menimbulkan lebih banyak tanda tanya, terutama: Siapa yang akan didakwa atas kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim?

Adib diserang pada akhir November dan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya pada Disember, kata mahkamah. Mahkamah yang bersidang di Shah Alam juga memutuskan kecederaan pada dada Adib diakibatkan oleh dua atau tiga orang yang menariknya keluar dari kenderaan bomba.

Adib meninggal dunia kerana perbuatan jenayah, kata koroner Rofiah Mohamad.

Sepuluh bulan selepas kejadian, siapakah yang akan diheret ke pengadilan?

Bukankah kalau ada suspek yang kuat, mereka tentunya sudah ditahan untuk siasatan dan mungkin sudah didakwa?

Siapakah mereka “dua atau tiga orang” yang menarik Adib keluar dari kenderaan bomba dan memukulnya?

Adakah kematian Adib akan masuk senarai “kes bunuh yang tidak selesai”?

Koroner Rofiah juga berkata beliau berpandangan pihak polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) gagal mengawal keadaan dan menyumbang kepada kematian Adib.

Penolong superintenden FRU Shuhaimi Yaakub sebelum ini memberitahu mahkamah beliau tidak menyuraikan perusuh kerana tidak dapat menghubungi ketua polis Subang Jaya, selaku komander lapangan, untuk mendapatkan arahan lanjut.

Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan menjelaskan kenapa pasukannya tidak menghentikan perusuh walaupun nampak mereka menghampiri kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat. Menurut Shuhaimi, beliau mematuhi prosedur operasi standard berdasarkan pada tatacara ketenteraman awam.

Jadi, apa kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador?

Kejadian pada akhir November lalu mengheret Malaysia ke ambang kekacauan kaum. Maka, wajarlah kalau ada yang dipertanggungjawabkan ke atas apa yang berlaku.

Adakah polis, atau pemaju One City Development, yang bertelagah dengan pihak pengurusan kuil Sri Maha Mariamman berhubung tanah tapak kuil itu?

Bagaimana pula dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, tempat Adib bertugas?

Mereka patah balik ke balai selepas kenderaan diserang oleh perusuh. Mereka meninggalkan Adib di tempat kejadian untuk mempertahankan diri sendiri.

Semasa inkues, mahkamah diberitahu ahli bomba lain hanya sedar Adib tiada selepas mereka meninggalkan tempat kejadian dan tiba di balai.

Adakah Adib ditinggalkan oleh rakan pasukannya yang menyelamatkan diri sendiri? Siapa akan bertanggungjawab sekarang?

Ada banyak tanda tanya yang masih tidak berjawab berbulan-bulan selepas kejadian. – 27 September, 2019.

Iklan
Iklan