Utusan gulung tikar, henti operasi hari ini
Iklan
KUMPULAN Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, syarikat akhbar yang bermula sejak akhir 1930-an, gulung tikar dan memberhentikan kira-kira 800 kakitangannya berkuat kuasa hujung bulan ini, kata pengerusinya Abdul Aziz Sheikh Fadzir.
Dalam satu pekeliling kepada kakitangannya, Aziz mengumumkan lembaga pengarah urusan syarikat pada Isnin meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang dan melantik UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai pelikuidasi interim.
“Langkah ini terpaksa diambil oleh kerana lembaga pengarah berpendapat bahawa syarikat tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan,” kata Aziz dalam pekeliling yang dilihat oleh The Malaysian Insight.
Aziz juga memaklumkan Utusan menghentikan operasinya serta merta hari ini.
“Tarikh akhir bekerja tuan/puan telah ditetapkan pada Rabu, 9 Oktober 2019 manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019.”
Berita penggulungan syarikat ini muncul sehari selepas Utusan membuat pengumuman melepaskan 70% pegangan dalam anak syarikatnya Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan taikun Syed Mokhtar Albukhary.
Dilof memegang permit menerbitkan Utusan Malaysia dan Kosmo serta edisi mingguannya sejak awal bulan lepas.
The Malaysian Insight difahamkan pengumuman gulung tikar dan pemberhentian kerja itu disampaikan oleh ketua-ketua jabatan kepada unit masing-masing pagi ini.
Satu taklimat kepada kakitangan akan diadakan pada 30 Oktober oleh UHY Advisory untuk menjelaskan faedah penamatan kerja, kata pekeliling itu.
Mereka juga diminta mengemas tempat kerja, mengeluarkan barang peribadi dan mengembalikan semua aset syarikat kepada ketua jabatan sebelum 1 tengah hari ini.
Sejak malam tadi, kakitangan Utusan yang sudah mendapat bayangan pengumuman hari ini sudah mula mengemas meja dan membawa pulang barangan masing-masing.
Mereka juga malam tadi dimaklumkan tiada tugasan untuk hari ini, menandakan Utusan Malaysia dan Kosmo tidak akan terbit esok.
Menurut Aziz, keputusan gulung tikar ini dibuat selepas Utusan melakukan pelbagai usaha untuk memulihkan kedudukan kewangan syarikat yang tenat, yang semakin buruk selepas pilihan raya umum tahun lalu.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah melalui tempoh perniagaan yang paling kritikal sejak mula beroperasi 80 tahun yang lalu.
“Keadaan syarikat semakin merosot selepas Mei 2018,” katanya.
Aziz juga memaklumkan kakitangan bahawa syarikat sudah melakukan beberapa cara untuk memulihkan keadaan, antaranya mengurangkan separuh jumlah kakitangan melalui skim pemberhentian sukarela (VSS) pada hujung tahun lalu melibatkan lebih 700 orang, serta menjual aset untuk menambah aliran tunai.
“Namun edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo yang semakin menurun dan sasaran RM4 juta iklan sebulan yang gagal dicapai menyebabkan aliran tunai Utusan semakin tenat.
“Bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa, malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak. Syarikat kini berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang-pemiutang,” katanya.
The Malaysian Insight difahamkan oleh dua sumber bahawa keputusan menggulung syarikat ini dibuat menjelang pendengaran satu kes tuntutan hutang di mahkamah esok.
Penerbit baharu
Beberapa kakitangan juga memberitahu The Malaysian Insight mereka diberi bayangan sejak semalam – malah sejak beberapa minggu lalu – sekiranya syarikat tutup dan operasi dihentikan, akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo akan terbit semula.
“Kami dapat tahu ada kakitangan yang akan diambil semula bekerja tetapi katanya 60 orang untuk setiap akhbar,” kata seorang wartawan Utusan Malaysia.
Sumber di Putrajaya memberitahu The Malaysian Insight, Dilof memegang permit menerbitkan Utusan Malaysia dan Kosmo serta edisi mingguan kedua-duanya sejak 5 September lalu.
Dilof adalah syarikat milik Aziz yang ditubuhkan pada 23 Ogos 2018, sebelum diambil alih oleh Utusan pada 26 Ogos lalu.
Pada tarikh sama, Utusan turut mengambil alih Utusan Digital Sdn Bhd, sebuah lagi syarikat milik Aziz yang ditubuhkan pada 23 Oktober 2018, sebagai anak syarikatnya.
Empat hari selepas mengambil alih dua syarikat itu, Utusan dikeluarkan dari Bursa Malaysia – setelah tersenarai sejak 1994 – kerana gagal mengemukakan pelan penstrukturan semula kewangannya.
Ura-ura menutup Utusan pernah timbul tujuh minggu lalu.
Pada 19 Ogos lalu, NUJ-UM menganjurkan piket di luar pejabat Utusan menuntut gaji yang tertunggak sejak tiga bulan sebelumnya. Selepas piket selesai, mereka dimaklumkan syarikat akan menutup operasi.
Aziz, selepas mesyuarat pengurusan keesokan harinya, mengumumkan Utusan tidak akan ditutup manakala akhbarnya terus terbit tetapi dinaikkan harga 50 sen.
“Mungkin dah tak boleh buat apa lagi,” kata seorang kakitangan Utusan, yang enggan dikenali.
“Agaknya ini keputusan tutup yang tertangguh.”
Utusan bermula pada 1939 di Singapura sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada 1959. Dua tahun kemudian, ia dimiliki oleh Umno, sehinggalah parti itu melepaskan sebahagian besar pegangan sahamnya kepada Aziz pada awal tahun ini.
Laporan sebelum ini menyebut, bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu membeli pegangan saham Umno sebanyak 31.6% pada Februari lalu.
Pada Julai, Syed Mokhtar meningkatkan pegangan ekuitinya kepada 19.72% menjadikan beliau pemegang saham kedua terbesar melalui Nilam Setar Sdn Bhd, diikuti Umno yang memegang 18.1%. – 9 Oktober, 2019.