Iklan

Bekas CEO 1MDB nafi bersekongkol dengan Jho Low halang audit

Bede Hong5 years ago14th Oct 2019Berita
1mdb 20191010 afif 03
Shahrol Azral Ibrahim Halmi menafikan cadangan Shafee Abdullah bahawa beliau bersekongkol dengan Jho Low untuk menghalang audit dibuat Jabatan Audit Negara ke atas 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2019.
Iklan

BEKAS CEO 1Malaysia Development Berhad Shahrol Azral Ibrahim Halmi menafikan beliau bersubahat dengan Low Taek Jho untuk menghentikan audit kerajaan dilakukan terhadap kewangan dana negara itu pada 2009, mahkamah dimaklumkan hari ini.

Shahrol juga menafikan cadangan pasukan pembelaaan yang beliau berbuat demikian untuk menyembunyikan keraguan kewangan yang wujud kerana bon bernilai RM5 bilion dikeluarkan oleh 1MDB pada Mei tahun sama. 1MDB hanya menerima hasil sebanyak RM4.3 bilion daripada bon itu.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah hari ini mendedahkan surat bertarikh antara 2009 dan 2010, ditandatangani Shahrol yang mahu Jabatan Audit Negara diketuai ketuanya ketika itu Ambrin Buang melakukan audit ke atas 1MDB.

Sebahagian surat ditujukan kepada Najib Razak selaku perdana menteri, menteri kewangan dan pemegang tunggal kepentingan 1MDB sebagai ketua Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).

Shafee: Sikap awak dalam semua surat ini menunjukkan awak bersekongkol dengan Jho Low, yang awak sebenarnya sembunyikan keadaan sebenar 1MDB yang bakal dibongkar dalam audit. Ini termasuklah RM700 juta yang akhirnya masuk ke dalam Good Star Ltd (didakwa dikawal Jho Low).

Saya katakan awak tak mungkin membuta tuli ikut arahan Jho Low, awak bersekongkol dengannya.

Shahrol: Saya tak setuju.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dengan menerima suapan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Pendakwaan menuduhnya bersubahat dengan Jho Low yang kini masih dalam buruan.

Ketika sesi soal balas tengahari tadi, Shafee merujuk kepada sepucuk surat bertarikh 22 Jun 2010 daripada ketua setiausaha perbendaraan ketika itu Wan Abdul Aziz Wan Abdullah kepada 1MDB, menyatakan Najib sudah bersetuju supaya audit dilakukan Jabatan Audit Negara.

Tetapi pada 25 Jun, Shahrol menghantar surat kepada Najib, meminta sekatan dikenakan ke atas maklumat sulit, yang hanya boleh dikeluarkan dengan kebenaran Lembaga Penasihat 1MDB yang dipengerusikan Najib.

Shahrol berkata beliau menulis surat itu mengikut arahan Jho Low, yang katanya, bertindak atas bagi pihak Najib.

Menurut Shahrol, Jho Low memberikan alasan ia perlu dilakukan kerana 1MDB hanya menerima RM4.3 bilion daripada bon bernilai RM5 bilion itu. – 14 Oktober, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan