Iklan

Soal fatwa perlu rujuk mufti bukan 'ustaz media sosial', kata Asyraf 

Radzi Razak7 years ago18th Oct 2017Berita
Asyraf
Iklan

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri Asyraf Wajdi Dusuki berkata rakyat seharusnya merujuk pendapat mufti dan bukannya ustaz atau penceramah agama di media sosial dalam hukum dan fatwa agama.

Mengulas mengenai fatwa-fatwa pelik seperti “dobi untuk Muslim sahaja” dan “haram gunting rambut dengan bukan Islam” yang kini mula tular di media sosial, beliau berkata hanya mufti yang dilantik oleh Sultan mempunyai kuasa dalam mengeluarkan sebarang fatwa.

“Pesan saya kepada semua, rujuklah pada yang betul-betul berautoriti dalam hal ehwal hukum dan fatwa. Dalam konteks negara kita, hanya Mufti yang dilantik secara sah oleh DYMM Tuanku Sultan-Sultan sahaja yang mempunyai kuasa mengeluarkan fatwa.

“Ini bermakna sebarang hukum yang dikeluarkan oleh individu-individu tidak kira berstatus ulama sehinggalah kepada penceramah agama akan kekal sebagai pandangan agama masing-masing yang tiada apa-apa kesan perundangan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Asyraf tidak memberi sebarang komen spesifik terhadap individu yang terlibat.

Menurut Asyraf lagi, fatwa tidak akan menjadi perundangan sekiranya tidak melalui proses tertentu melibatkan perwartaaan perundangan dengan izin daripada Sultan negeri terlibat dan bukanlah sewenang-wenangnya disebut dalam sesuatu ceramah.

“Sesuatu pandangan agama yang sah dan mempunyai kesan perundangan hanya apabila telah diputuskan oleh para mufti yang selalunya dibahaskan secara jemaah dengan Jawatankuasa Fatwa (ijtihad jamaie) sebelum diangkat kepada DYMM Tuanku Sultan. Jika diperkenankan oleh DYMM Tuanku Sultan dan diwartakan barulah fatwa tersebut sah, mempunyai kredibiliti dan mengikat dari segi perundangan. 

“Justeru hormatilah autoriti agama dan hentikanlah menyebar dan menular ‘fatwa-fatwa pelik’ daripada individu selain Mufti yang hanya akan mencetuskan kekeliruan, kekeruhan dan polemik yang tidak menguntungkan bahkan boleh menjadi fitnah kepada kesucian agama Islam,” kata beliau.

Sebelum ini, Pendakwah Zamihan Mat Zin telah ditangkap selepas video beliau memberi komen terhadap isu kedai dobi hanya untuk orang Islam dilihat mengkritik Sultan Johor.

Malah kes itu juga menyebabkan Sultan Johor menarik kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Sultan Selangor pula menarik tauliah kepada Zamihan yang sebelum ini selalu mengadakan ceramah di negeri itu.

Sementara itu, Shahul Hamid, pengetua Maahad Tahfiz Darul Tahzhib di Bayan Lepas, pula tular selepas tersebar sebuah video yang dimuatkan di YouTube dua tahun lalu mengatakan “haram” bagi umat Islam membenarkan orang bukan Islam menggunting rambut mereka. – 18 Oktober, 2017

Iklan
Iklan