Menteri pengangkutan ‘terkejut’ Bellew nak tinggalkan Malaysia Airlines
Iklan
PUTRAJAYA turut terkejut dengan berita Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB), Peter Bellew akan meninggalkan syarikat penerbangan negara itu.
Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai berkata beliau tidak mengetahui langsung mengenai rancangan Bellew itu.
Liow berkata, beliau juga mahu mendapatkan maklumat lebih lanjut dan sudah meminta laporan daripada MAB.
“Saya tidak mendapat petunjuk awal. Saya juga mahu dapatkan maklumat lanjut.
“Saya dah minta laporan. Saya tunggu laporan daripada MAB,” kata Liow kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Liow bagaimanapun berkata yakin transformasi dalam MAB akan diteruskan.
“Tidak kira siapa CEO atau ketua pegawai operasi (COO), transformasi MAB adalah agenda kita. MAB dalam keadaan baik.
“Ia tidak akan menjejaskan MAB. Tetapi kita nak tahu mengapa dia nak berhenti. Khazanah yang akan menentukan siapa pengganti kerana ia (MAB) di bawah Khazanah,” katanya.
Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) merupakan pemegang saham tunggal MAS.
Semalam dilaporkan Bellew dijangka kembali ke Ryanair selepas mengetuai syarikat penerbangan negara yang tenat itu bagi tempoh hanya setahun.
Sebelum ini, Christoph Muller yang juga CEO warga asing pertama menerajui MAS turut meletakkan jawatan dalam tempoh setahun.
Dalam satu kenyataan semalam, MAB mengatakan mereka terkejut dengan berita Bellew akan menyertai kembali syarikat tambang murah Ireland, Ryanair.
Dalam satu kenyataan ringkas, MAS berkata ia ambil maklum berhubung “pengumuman yang tidak dijangka oleh RyanAir Holdings PLC kepada Bursa Saham London berkaitan CEO Peter Bellew”.
MAB berkata Bellew sudah memaklumkan komitmennya kepada mereka pada 27 September ketika ditanya adakah beliau akan kembali ke Ryanair.
Bellew menyertai MAB pada 2015 sebagai COO sebelum mengambil alih tugas CEO daripada Christoph Mueller pada Julai, 2016 selepas bekas CEO itu meletakkan jawatan, kurang setahun daripada kontraknya, atas alasan peribadi.
Bellew ialah CEO MAB yang ketiga dalam tempoh dua tahun selepas Mueller dan Ahmad Jauhari Yahya, yang meletakkan jawatan selepas tragedi berkembar, MH370 dan MH17 pada 2014. – 18 Oktober, 2017.