LANGSUNG: Soal balas hari ke-6 bekas CEO 1MDB
Iklan
SAKSI kesembilan, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Shahrol Azral Ibrahim Halmi kembali memberi keterangan pada perbicaraan melibatkan Najib Razak yang masuk hari ke-22 hari ini.
Shahrol akan disoal balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abullah untuk hari keenam.
Semalam, saksi menafikan bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low, bagi menghalang audit oleh Jabatan Audit Negara terhadap dana pelaburan negara.
Shahrol mengakui jika audit kerajaan dibenarkan oleh pendahulu 1MDB, Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada 2009, ia akan mendapati penyelewengan dana yang dikaitkan dengan penerbitan bon bernilai RM5 bilion.
Beliau juga bersetuju 1MDB memindahkan AS$700 juta kepada Good Star Ltd, yang sepatutnya merupakan rakan usaha sama 1MDB kepada PetroSaudi International Ltd tetapi sebenarnya dikawal oleh Low.
Najib, 66, sedang dibicarakan berhubung empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dengan menerima suapan sebanyak RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dengan jumlah yang sama.
Pendakwa menuduhnya berkomplot dengan Low, yang kini dalam buruan, menipu dana pelaburan negara.
Najib diwakili oleh sekumpulan peguam yang diketuai oleh Shafee.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah.
The Malaysian Insight membawakan anda secara langsung prosiding hari ini:
2.48pm: Sequerah membenarkan perbicaran hari ini ditngguhkan esok 9.30 pagi.
Sequerah: Katakan ini adalah kali terakhir keadaan sedemikian berlaku.
Shafee meminta maaf sekali lagi.
“Anak guam saya berasa sangat bersalah kerana beliau berkata sepatutnya berada di sini.”
2.46pm: Shafee berkata keadaan hari ini bukan sesuatu yang biasa berlaku.
Shafee: Yang Ariff mengendalikan perbicaraan ini dengan sangat baik. Progres kita sangat baik.
Shafee berkata pasukan peguambela dijangka akan memuktamadkan soal balas dengan Shahrol minggu depan.
Beliau juga mengatakan saksi itu dianggap penting dan menjangka perbicaraan berjalan lebih cepat saksi pendakwaan, kecuali segelintir.
2.43pm: Sequerah berkata beliau tidak mahu ia memberi gambaran bahawa mahkamah ingin menolak permintaan untuk menghadiri Parlimen:
“Tetapi beliau berkata pukul 2.30 petang akan berada di sini, atas dasar itu saya bersetuju.”
Shafee berkata Najib akan berada di mahkamah pagi esok pada jam 9.30 pagi.
Sequerah: Tetapi bagaimanakah kita boleh memastikan situasi yang sama tidak berlaku?
2.41pm: Sri Ram: Saya berharap ini adalah episod terakhir perkara seperti itu berlaku.
Beliau boleh mendapat resit untuk slot lain jika memberitahu speaker.
Shafee berkata Najib harus dibenarkan menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen.
2.33pm: Najib tidak kelihatan.
Shafee memaklumkan kepada mahkamah yang slot bercakap Najib ditangguhkan.
Beliau juga membangkitkan semasa perbicaraan sebelum ini Ahli Parlimen DAP, Karpal Singh dibenarkan menghadiri sesi Parlimen.
2.32pm: Mahkamah bersidang – 15 Oktober, 2019.