LANGSUNG: Kerjasama 1MDB-PetroSaudi hasil keakraban Najib, Raja Abdullah, kata saksi
Iklan
SAKSI kesembilan pihak pendakwa, bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Shahrol Azral Ibrahim Halmi kembali ke kandang saksi ketika perbicaraan melibatkan Najib Razak masuk hari ke-22, hari ini.
Shahrol akan disoal balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abullah untuk hari keenam.
Semalam, pendengaran ditangguhkan memandangkan Najib berada di Parlimen untuk menyampaikan ucapan berhubung Belanjawan 2020.
Pada Isnin, Shahrol menafikan bersekongkolan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang dikenali sebagai Jho Low, untuk menghalang audit dilakukan Jabatan Audit Negara terhadap dana pelaburan negara.
Shahrol mengakui jika audit kerajaan dibenarkan terhadap Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), pendahulu kepada 1MDB, pada 2009, akan mendapati dana daripada penerbitan bon bernilai RM5 bilion disalahgunakan.
Beliau juga bersetuju 1MDB memindahkan AS$700 juta (RM2.9 bilion) kepada Good Star Ltd, yang sepatutnya merupakan rakan usaha sama PetroSaudi International Ltd, tetapi sebenarnya dikawal oleh Low.
Najib, 66, sedang dibicarakan berhubung empat tuduhan penyalahgunaan kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dengan jumlah yang sama.
Pendakwa menuduhnya berkomplot dengan Low dalam usaha untuk menipu firma pelaburan negara.
Najib diwakili oleh sepasukan peguam yang diketuai oleh Shafee.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan di depan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah.
The Insight Malaysia membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
4.35pm: Shafee bertanya kepada Shahrol mengenai keyakinannya terhadap Tang mengenai usaha sama itu.
Peguam bela Najib itu berkata perjanjian usaha sama akhirnya ditandatangani dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd, bukan PetroSaudi International.
Ia adalah syarikat yang beribu pejabat di Kepulauan British Virgin yang menurut pasukan pendakwa digunakan untuk menipu 1MDB.
Sharol berkata beliau yakin dengan pengalaman Tang dalam undang-undang.
Perbicaraan bersambung esok.
4.20pm: Shafee merujuk kepada Resolusi Pekeliling Pengarah bahawa 1MDB terbabit dalam satu usaha sama dengan melabur.
Resolusi menyatakan Shahrol dan Tang akan dilantik sebagai pengarah interim bagi syarikat usaha sama itu.
4.10pm: Sharol berkata ketika mesyuarat lembaga pengarah pada 26 September 2009 Jho Low terima panggilan telefon dari Najib. Telefon diserah kepada bekas pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh, yang kemudian bercakap dengan Najib dan panggilan tidak direkodkan dalam minit mesyuarat.
Saksi itu berkata Bakke kemudiannya memaklumkan kepada lembaga pengarah yang usaha sama itu penting dan ini menyebabkan ahli kemukakan beberapa soalan mengenainya.
3.33pm: Shafee: Kamu ada nampak tak gambaran di sini (dalam perjanjian usaha sama) bahawa Jho Low adalah ketua manipulator? Itu yang dikatakan oleh saksi sebelum ini, Amhari Efendi Nazaruddin.
Shahrol: Dalam kenyataan saya, saya sebut seperti pengarah orkestra.
Pada saya, apa yang jelas ialah dia seperti pengarah dalam orkestra di mana pemuzik yang berbeza memainkan peranan mereka tanpa perlu ambil tahu apa pemuzik lain sedang buat.
3.16pm: Shahrol beritahu mahkamah tentang aset yang dikatakan milik PetroSaudi di Amerika Selatan.
Saksi itu berkata PetroSaudi mempunyai aset minyak dan gas di Argentina dan Venezuela tetapi tidak ingat yang lain.
3.07pm: Shahrol berkata kerajaan Arab Saudi sendiri tidak pernah mengesahkan terma dan syarat bagi perjanjian usaha sama itu.
2.54pm: Saksi setuju dengan peguam bela bahawa lembaga 1MDB tiada sumber maklumat lain mengenai usaha sama selain PetroSaudi.
2.39pm: Shafee merujuk kepada kertas kerja yang yang dikemukakan dalam mesyuarat lembaga pada 18 September 2009 yang disediakan oleh pengarah pelaburan 1MDB Kelvin Tan dan ketua pegawai pelaburan 1MDB Vincent Goh. Ia kemudian disemak oleh Tang dan dicadangkan untuk dikemuka oleh saksi.
Shahrol mengesahkan dokumen tersebut.
Dokumen adalah butiran mengenai jaminan 1MDN untuk melabur sebanyak AS$1 bilion dalam usaha sama dengan PSI.
2.38pm: Perbicaraan bersambung
12.45pm: Mahkamah berhenti rehat.
12.20pm: Shafee bertanya sama ada langkah wajar dilakukan oleh 1MDB mengenai perjanjian PetroSaudi. Shahrol berkata terdapat langkah wajar diambil tetapi tidak didokumenkan.
Shafee: Adakah anda setuju, profesional seperti anda adalah memastikan 1MDB tidak ditipu oleh perjanjian?
Shahrol: Dalam parameter ditetapkan, ya.
Shafee: Adakah anda bersetuju walaupun bertemu pemimpin Arab, berpelukan dan bercium dengan orang Arab, tugas anda adalah untuk melindungi 1MDB?
Shahrol: Mengenai matlamat itu, saya perlu mengambil kira konteks dengan Perkara 117.
Shafee: Adakah anda bersetuju tidak kira walau bagaimana rapat hubungan antara kedua-dua negara atau pemimpin, anda sepatutnya melindungi 1MDB?
Shahrol: Saya sepatutnya melindungi 1MDB dengan mengambil kira Perkara 117, menggunakan mandat yang sangat jelas mengenai bagaimana saya boleh melakukannya.
Saksi itu berkata sehingga September 2009, beliau tidak menyuarakan sebarang kebimbangan mengenai perjanjian 1MDB-PetroSaudi.
12.07pm: Shafee meneliti minit mesyuarat lembaga khas 1MDB pada 18 September 2009, yang membincangkan butiran usaha sama itu.
11.27am: Shafee merujuk kepada surat daripada Ernst & Young, juru audit pihak ketiga yang diupah oleh 1MDB pada September 2009.
Saksi berkata, pengarah eksekutif pelaburan dan kewangan 1MDB, Casey Tang berkata firma itu diupah bukan sahaja untuk memberikan pendapat tentang isu cukai tetapi juga menyediakan satu perkhidmatan perakaunan bagi perjanjian itu.
11.26am: Perbicaraan bersambung.
10.58am: Hakim Sequerah mengizinkan mahkamat berehat sebentar.
10.57am: Shafee bertanya sama ada usaha wajar diberi untuk memenuhi tarikh akhir 28 September.
Shahrol berkata matlamatnya adalah untuk memenuhi tarikh sasaran dan menyelesaikan dokumentasi.
Shafee: Bolehkah anda memberitahu mengapa perlu tergesa-gesa?
Shahrol: Mandat diberikan kepada kami untuk menyelesaikannya pada 28 September.
Shafee: Kami cakap perkara yang sama. Ia mungkin berbunyi bodoh tetapi saya bertanya soalan yang serius. Mengapa tergesa-gesa untuk menyelesaikannya pada 28 September?
Shahrol: Apa yang ditekankan kepada saya, akan ada lawatan kerajaan.
Shafee: Jho Low memberitahu anda?
Shahrol: Ya.
Shafee: Anda perlu menandatangani semasa lawatan negara itu?
Shahrol: Apa yang diberitahu kepada saya adalah putera mahkota sepatutnya datang dan ia sepatutnya disaksikan oleh putera mahkota.
Shafee menegaskan alasan kunjungan kerajaan tidak disebutkan dalam sebarang dokumentasi.
10.46am: Shafee bertanya saksi jika beliau yakin tidak akan ada pengurangan harga atau penipuan.
Jawapan saksi, ya.
Shafee: Anda mengandaikan kerajaan tidak akan menipu?
Shahrol: Ini dibentangkan kepada saya sebagai sesuatu yang peribadi antara Datuk Seri Najib dan Raja (Abdullah).
Shafee: Adakah anda bermaksud hubungan peribadi Datuk Seri Najib dengan ketua kerajaan Arab Saudi, akan membantu usaha 1MDB dengan PSI?
Shahrol: Saya katakan usaha sama 1MDB-PSI diwujudkan oleh hubungan peribadi ini.
Shafee: Siapa yang memberitahu awak?
Shahrol: Jho (Low Taek Jho).
Shafee: Dari mana beliau tahu mengenainya?
Shahrol: Beliau berada pada mesyuarat di atas kapal layar itu. Beliau menyebut ada di sana untuk perbincangan bagi mesyuarat atas kapal layar semasa salah satu percutian.
10.41am: Shafee bertanya saksi tentang apa “aset berharga” yang disebut dalam surat itu.
Saksi mengatakan beliau tidak menyedari mengenai “aset berharga”.
Shafee: Bukankah awak teruja?
Shahrol: Ini adalah perjanjian yang dibincangkan antara kedua-dua negara, seperti antara Raja Abdullah dan Datuk Seri Najib. Saya fokuskan pada kerja yang dilakukan. Saya tidak peduli dengan “aset berharga”.
10.39am: PSI menghendaki perjanjian usaha sama ditandatangani pada atau sebelum 28 September 2009, kata Shafee, merujuk kepada surat cadangan.
10.38am: Perjanjian ini membolehkan 1MDB mendapatkan 40% saham dalam projek usaha sama, kata Shafee.
Shahrol bersetuju.
Projek usaha sama ini berhubung sektor tenaga.
10.34am: Shafee merujuk kepada perjanjian pada 2009 antara PetroSaudi International (PSI) dan 1MDB bernilai AS$2.5 bilion, di mana 1MBD akan menyuntik modal tunai sebanyak AS$1 bilion.
PSI pula akan melabur AS$2 bilion dalam aset, selepas kedua-dua firma menolak nilai pada harga AS$1.5 bilion sahaja.
10.34am: Shafee merujuk kepada perjanjian 1MDB pada 2009 dengan PetroSaudi untuk melabur AS$2 bilion dalam bentuk aset.
10.17am: Shahrol berkata kakak Sultan Mizan, Tengku Rahimah Almarhum Sultan Mahmud meletak jawatan pada 27 Mei 2009.
10:15am: Shafee menyatakan penerbitan bon diteruskan walaupun penalti jika tidak berbuat demikian hanyalah RM500,000.
10.10am: Shahrol berkata pada 22 Mei 2009, lembaga pengarah TIA mengetahui resolusi untuk menangguhkan penerbitan bon dan pada 27 Mei 2009, para pemegang saham mengetahui mengenai resolusi yang sama.
Shahrol sebelum ini memberi keterangan beliau bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin, yang tidak puas hati dengan penerbitan bon. Pada 27 Mei 2009, perjanjian dengan AmInvestment ditandatangani untuk meneruskan penerbitan bon.
9:59am: Shafee berkata salah satu syarat ialah pampasan RM500,000 bagi AmInvestment sekiranya perjanjian itu ditamatkan atas sebarang sebab.
9.58am: Shafee bertanya saksi jika beliau menerima nasihat undang-undang mengenai perjanjian itu. Saksi menjawab, ya.
9.48am: Shahrol berkata surat itu untuk mengesahkan bank sebagai penasihat utama dan pengatur utama bagi program nota jangka sederhana Islam, untuk mendapatkan RM5 bilion bagi TIA.
Saksi juga berkata beliau menandatangani surat pengesahan pada 6 April, mengenai perjanjian terma dan lantikan bank.
9.44am: Shafee meneruskan soal balas saksi Shahrol. Peguam itu merujuk kepada surat daripada AmInvestment kepada 1MDB bertarikh 3 April 2009.
9.42am: Peguam bela utama Shafee memaklumkan kepada mahkamah slot Najib dengan tujuh ahli Parlimen Barisan Nasional untuk bercakap di Parlimen dari jam 11 pagi hingga tengah hari.
Peguam berkata Speaker Mohamad Ariff Md Yusof memahaminya. Shafee berkata Najib kehilangan slotnya semalam kepada Anwar Ibrahim.
9.40am: Mahkamah bersidang. – 16 Oktober, 2019.