Malaysia munafik jika mahu diiktiraf Ibu Kota Buku Dunia
Iklan
PUTRAJAYA perlu menghormati isi kandungan buku sebelum membida pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), kata penulis yang tujuh bukunya diharamkan.
Dr Faizal Musa atau nama penanya Faisal Tehrani berkata, adalah penting bagi kerajaan untuk menghormati akses dan hak pembaca untuk mentafsir dan mendapat muatan buku sebelum bercita-cita mendapatkan pengiktirafan antarabangsa itu.
“Inilah yang terjadi apabila kemajuan industri buku diletak nasibnya di tangan mereka yang berfikir buku itu adalah kertas, dan dakwat semata-mata.
“Buku mengandungi set kepercayaan, kebudayaan, ilmu, wacana, debat, bermacam solusi, cerita dan harapan.
“Jika Malaysia mendambakan Ibu Kota Buku Dunia atau World Book Capital Unesco pada 2020, hormati dulu kandungan buku,” kata Faisal yang juga felo penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam wawancara bersama The Malaysian Insight baru-baru ini.
Faisal berkata adalah mustahak juga kerajaan menunaikan hak pengarang, seniman, dan ahli akademik untuk menawarkan solusi yang pelbagai kepada permasalahan dalam negara.
“Masakan pentadbir industri buku di Malaysia gagal mengerti hal semudah ini? Melainkan semuanya kemunafikan,” katanya.
Selepas Thailand menjadi negara Asean pertama mendapat pengiktirafan daripada Unesco sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada 2013, Malaysia kini berusaha keras untuk mendapatkannya pada 2020.
Gelaran Ibu Kota Buku Dunia yang setakat ini sudah diterima 19 bandar raya di seluruh dunia sejak diperkenalkan Unesco pada 2001 itu, akan diberi kepada bandar raya yang menunjukkan komitmen tinggi kepada penganjuran, promosi dan aktiviti pembacaan.
Selama setahun, iaitu bermula 23 April hingga 22 April tahun berikutnya, bandar raya yang terpilih akan melaksanakan pelbagai promosi berkaitan perbukuan, kesusasteraan, kesenian dan gerakan membaca.
Jun lalu, Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE), menjadi bandar raya ke-19 diumumkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2019 oleh Ketua Pengarah Unesco Irina Bokova.
Di sebalik keghairahan menjadi ibu kota buku dunia, awal bulan ini Putrajaya bertindak mengharamkan beberapa buku termasuk buku Faisal dan buku terbitan Islamic Reinassance Front (IRF).
Selain itu, kerajaan mengharamkan buku kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque “Sapuman: Man of Steal” yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Pengharaman buku-buku ini dilakukan tidak berapa lama selepas Wakil Khas PBB mengenai kebudayaan, Karima Bennoune melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan Putrajaya mengharamkan buku.
Buku Faisal yang diharamkan oleh kerajaan baru-baru ini bertajuk “Aku ____, Maka Aku Ada!”.
Buku-bukunya yang sebelum ini diharamkan ialah dua novel Perempuan Nan Bercinta dan Sebongkah Batu di Kuala Berang, kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu, drama pentas Karbala dan kumpulan puisi Ingin Jadi Nasrallah, serta kumpulan esei kritikan filem bertajuk Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan.
Buku itu antara lain diharamkan atas dakwaan mengandungi unsur penyebaran ajaran Syiah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Mengulas mengenai pengharaman buku terbarunya Faisal berkata, tindakan itu membuktikan kerajaan tepu dengan wacana hak asasi manusia, sejarah negara, idea demokrasi, kritikan sistem pendidikan dan gagasan untuk membebaskan masyarakat dari ketempurungan agama.
“Ulasan pembaca awam di portal goodreads.com misalnya menunjukkan rata-rata mereka teruja dengan pendekatan yang saya pilih. Unsur Syiah hanya dijadikan alasan seperti mana mereka menjadikan komunis satu alasan untuk menafikan hak Kassim Ahmad.
“Saya pengarang bilis, bilamana pengarang jerung seperti Profesor Syed Naguib al-Attas dalam tulisannya bertajuk ‘Preliminary Thoughts on the Nature of Knowledge and the Definition and Aims of Education’ termuat dalam buku ‘Aims and Objectives of Islamic Education’ menyarankan agar doktrin Syiah dipelajari secara positif di sekolah tidak ada yang berani membantah,” katanya.
Faisal bagaimanapun tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan atas pengharaman buku terbarunya.
“Saya sudah mencabar pengharaman empat buku dan masih menanti keputusan mahkamah.
“Saya tidak akan mencabar pengharaman ‘Aku _____, Maka Aku Ada!’ Kerana tulisan itu sudah tersebar di Internet dan boleh dibaca,” katanya. – 18 Oktober, 2017.