Orang Jho Low yakinkan saya, kata bekas CEO 1MDB
Iklan
BEKAS ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beliau tanpa ragu-ragu menandatangani perjanjian usaha sama dengan sebuah syarikat luar negara yang berpangkalan di Kepulauan British Virgin, bukan PetroSaudi International.
Saksi kesembilan dalam perbicaraan melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak itu berkata, pada September 2009 beliau diyakinkan oleh bekas pengarah eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee bahawa PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd adalah syarikat yang sah.
Semasa diperiksa balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, Sahrol ditanya mengenai keputusannya untuk meneruskan usaha sama tanpa mendapatkan pengesahan dari penasihat undang-undang 1MDB.
Shafee: Saya katakan bahawa kamu mesti tahu syarikat seperti PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd adalah entiti berlainan. Lembaga pengarah kata kamu tandatangan perjanjian dengan Petro Saudi International. Kenapa kamu dengar cakap Casey sedangkan perlu rujuk lembaga, atau boleh rujuk peguam sendiri?
Shahrol: Casey bekerja dengan firma peguam kami.
Shafee: Siapa peguam kamu?
Shahrol: Wong & Partners. Casey kata OK untuk kami tandatangan. Jadi pada anggapan saya dia dah semak semua butiran.
Shafee: Kalau itu betul, maka kamu serah AS$1 bilion pada 2009. Itu satu jumlah yang sangat besar. Dan kamu serah kepada sebuah entiti yang tak diketahui. Apa penjelasan kamu?
Shahrol: Kami ada pasukan peguam dan Casey berpengalaman dalam perjanjian antarabangsa, dan dia tak beritahu apa-apa yang tak perlu dibuat.
Shafee: Bagaimana kamu jelaskan perkara ini kepada lembaga pengarah?
Shahrol: Sama seperti yang saya jelaskan pada mahkamah hari ini iaitu Casey yang paling berpengalaman. Dia diberi tanggungjawab untuk pastikan semuanya berjalan dengan lancar. – 16 Oktober, 2019.