Iklan

Jakim perlu tangani ekstremisme dalam negara, kata ahli akademik

Radzi RazakDiyana Ibrahim7 years ago19th Oct 2017Berita
Elit laundry 20170927 tmihasnoor 013
Jakim dilihat seolah-olah tidak ambil peduli dengan pandangan ekstremis sesetengah pihak yang mampu memecahbelahkan masyarakat majmuk di negara ini sebagaimana isu membabitkan pendakwahnya, Zamihan Mat Zin baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Oktober, 2017.
Iklan

DI Shah Alam, ibu negeri Selangor yang bermodelkan bandar Islam, beberapa penduduk mengatakan mereka tidak memahami kekecohan yang melanda pendakwah kontroversi Zamihan Mat Zin yang menyokong kedai dobi untuk Muslim dan mengkritik Sultan Johor itu.

“Saya bersetuju dengan dobi hanya untuk Islam sahaja. Saya tidak kata mengenai pandangan Zamihan mengenai kaum lain tidak bersih. Tapi memang ada keperluan untuk dobi Islam sahaja.

Konsepnya sama kalau kita ke luar negara, ada pinggan yang perlu dikhaskan untuk orang Islam dan bukan Islam.

“Memang kalau saya akan pilih dobi untuk orang Islam sahaja, kalau ada perkhidmatan seperti itu,” kata Nurul Zahidah, 26, yang bekerja sebagai jurutera.

Seorang lagi wanita, Zarina, 50, berkata Zamihan betul.

“Saya rasa apa Zamihan cakap itu betul. Ini kerana memang ada orang Islam yang inginkan dobi untuk orang Islam sahaja. Kalau diberi pilihan, saya akan pergi ke situ. Sebab memang hak dia (pemilik untuk berniaga). Sama seperti kedai makan, ada kedai makan Cina atau India yang kita tidak boleh pergi kerana dikhaskan untuk mereka saja.

“Jadi apa bezanya dobi untuk orang Islam saja? Bagi saya ini semua mengenai perniagaan, terpulanglah,” katanya.

Pandangan tersebut sekali gus mempersoalkan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membanteras ekstremisme, lebih-lebih lagi dengan Zamihan, salah seorang pendakwahnya yang kini dalam perhatian.

Jakim dilihat seolah-olah tidak peduli dengan pandangan yang mampu mempolarisasikan masyarakat dengan lebih jauh, kata beberapa ahli akademik.

Ketua Jabatan Al-Quran dan Sunnah Universiti Islam Antarabangsa Dr Adli Musa berkata Jakim sepatutnya mengambil tindakan terhadap Zamihan sebelum Sultan Johor dan Sultan Selangor.

“Saya memuji tindakan Sultan dalam isu ini sebab namapak Jakim tidak aktif dalam menangani isu tersebut.

“Patutnya perkara ini telah lama ditangani oleh Jakim. Ini tidak, apabila Sultan masuk campur baru kata nak ambil tindakan,” kata beliau kepada The Malaysian Insight. 

Zamihan, yang dipinjamkan daripada Jakim ke Jabatan Penjara Kajang sebagai pegawai agama, mengkritik larangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terhadap dobi untuk orang Islam sahaja di negeri itu.

Beliau juga membuat kenyataan berunsur perkauman terhadap orang bukan Islam, mengatakan mereka adalah kotor dan tidak suci.

Sultan Ibrahim mengecam penceramah tersebut secara terbuka dalam satu ucapan di Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia ke-17 pada Sabtu lalu dan memutuskan Jakim tidak lagi dialu-alukan untuk menasihati Johor mengenai hal berkaitan dengan Islam.

“Gaya cakapnya sangat angkuh dan sombong, seolah-olah dia sahaja yang betul dan mencerca bangsa lain.

“Saya anggap dia hanya seperti tin kosong yang tidak ada otak,” kata Sultan Ibrahim, yang mengisytiharkan amalan diskriminasi yang menjerumus ke arah prejudis antara kaum yang berlainan tidak mendapat tempat di Johor.

Dalam satu kenyataan setelah gambar dobi di Muar tular di media sosial, Sultan Ibrahim berkata Johor “bukan negara Taliban”.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga membatalkan sijil tauliah Zamihan untuk berceramah di negeri tersebut.

Ceramah yang disampaikan oleh Zamihan yang mengkritik Sultan Johor disampaikan di masjid di Selangor.

Majlis Agama Islam Selangor juga sedang menyiasat Zamihan kerana mengkritik institusi diraja dalam ceramahnya.

Bajet besar untuk Jakim

Jakim adalah salah satu daripada agensi kerajaan yang dibiayai dengan baik, dengan bajet daripada Jabatan Perdana Menteri sekitar RM800 juta pada 2013 dan 2014, RM819 juta pada 2015, dan RM724.6 juta pada 2016.

Jakim juga meminta bajet lebih tinggi iaitu RM1 bilion dengan alasan untuk memerangi “ideologi ekstremis” yang dikenali sebagai Islamic State (IS), liberalisme, pluralisme dan gaya hidup lesbian, gay, bisexual dan transgender.

Jabatan tersebut ditubuhkan pada 1997 selepas bahagian Hal Ehwal Islam dalam Jabatan Perdana Menteri dinaiktaraf dan diletakkan di bawah kementerian.

Jurucakap Jakim berkata bajet yang besar tersebut disebabkan tugasnya termasuk membangunkan dasar-dasar Islam, mengeluarkan sijil halal, media dan mengekalkan pusat-pusat Islam seperti masjid-masjid dan akademi Quran.

“Jakim mempunyai bahagian penyelidikan, selain perbelanjaan dalam bidang teknologi halal. Ia turut menyelenggara guru-guru agama di seluruh negara dan mempunyai syarikat televisyen Al-Hijrah, masjid, Darul Quran dan lain-lain.

“Belanja turut meningkat apabila kita menyelaraskan elaun kakitangan. Contohnya tahun lalu, kita naikkan elaun 15,000 imam dan 33,000 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di seluruh negara,” kata beliau yang tidak mahu dinamakan kerana tidak dibenarkan bercakap kepada media.

Sebahagian besar dana Jakim juga dibelajakan dalam usaha untuk mengawal “akidah” dan untuk memberi penerangan bagi membanteras ajaran sesat dan ekstremisme; peruntukan untuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan; dan dakwah di Sabah dan Sarawak.

Jakim juga mengendalikan Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim) yang melatih pegawai kerajaan negeri dan wilayah mengenai Islam, dan Institut Darul Quran yang berfungsi sebagai pusat pengajian tinggi untuk orang mubaligh Islam dan hafiz serta hafizah.

Semua ini menjadikan peranan Jakim besar, tetapi ia tidak berdaya dalam melaksanakan undang-undang Islam di negeri-negeri, kata seorang lagi profesor UIA, Najibah Mohd Zin.

Ia hanya mempunyai kuasa sedemikian di Wilayah Persekutuan.

Sultan Johor mempunya kuasa dan tidak bersalah kerana memutuskan hubungan dengan Jakim, memandangkan hal ehwal Islam dalam negeri di bawah bidang kuasa Raja-raja Melayu masing-masing.

“Baginda ada hak (untuk memutuskan kerjasama) sebab ia bidang kuasa bawah Sultan. Cuma sebaik-baiknya biarlah ada ‘link’ (antara negeri dan persekutuan) supaya tidak berlaku perbezaan pendapat.

“Jakim dilantik di bawah persekutuan untuk melakukan penyelarasan polisi. Mereka tiada kuasa apa-apa. Kalau Jakim nak cadangkan apa-apa, seperti undang-undang, ia masih tertakluk kepada negeri,” kata kata Najibah yang memberi konsultasi bagi Jabatan Kehakiman Syariah Jakim.

Ramai “Zamihan” di luar sana

Dengan begitu banyak sumber yang ada, Adli berkata Jakim harus memastikan Islam di Malaysia menggalakkan kesederhanaan dan keharmonian kaum, memandangkan Perdana Menteri Najib Razak sendiri mempromosikan Malaysia sebagai negara Islam yang sederhana di mata dunia.

“Saya faham Kementerian Dalam Negeri bersama Majlis Keselamatan Negara ada mekanisme dalam menangani ektremisme keganasan. Ini isu ektremis dalam ‘multicultural’ (kepelbagaian kaum).

“Perdana menteri sendiri menunjukkan wassatiyyah, mengapa tidak pegawai Jakim? Ia patut memantau dan mengambil tindakan apabila pegawainya sendiri (yang mempromosikan ekstremisme),” kata beliau.

Seorang lagi penyelidik Islam, Dr Maszlee Malik berkata beliau bimbang dengan pengaruh mereka yang mempunyai fikiran seperti Zamihan dan organisasinya, Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), di  mana beliau menjadi presiden.

Beliau berkata Sultan dan Majlis Raja-Raja harus “lebih keras” dalam membanteras Aswaja dan budaya fanatik serta fanatik keagamaan, yang wujud di dalamnya

“Secara jujur saya risau dengan interpretasi Islam beliau dan rakan sependapat dengannya.

“Cuba bayangan sejauh mana pemikiran ketaksuban kaum (racial bigotry) yang beliau dan mereka yang sependapat dengannya akan bawa.

“Ia bukan mengenai seorang Zamihan, tetapi mengenai ‘parochial’ dan keterlampauan (over-extremism) agama,” katanya. – 19 Oktober, 2017.

Iklan
Iklan