Iklan

Najib ada 'kuasa mutlak' ke atas 1MDB, kata saksi 

Bede Hong5 years ago20th Oct 2019Berita
1mdb 20191010 afif 10
Bekas perdana menteri Najib Razak dikatakan memiliki 'kuasa mutlak' ke atas 1MDB seperti 'maharaja'.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2019.
Iklan

BEKAS perdana menteri Najib Razak memegang “kuasa mutlak” ke atas 1Malaysia Development Berhad seperti “maharaja”, kata bekas CEO syarikat pelaburan negara ittu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu.

Ketika pemeriksaan balas, bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi menolak cadangan daripada peguam bela bahawa ada keputusan yang boleh dibuat lembaga pengarah tanpa mendapat kelulusan daripada Najib.

Pada pemeriksaan balas oleh peguam bela Muhammad Shafee Abdullah, saksi berkata walaupun peruntukan di bawah Artikel 117 memorandum dan artikel persatuan 1MDB mungkin memberi ruang kepada lembaga pengarah, dalam amalan sebenar Najib memegang kuasa besar.

Ini termasuk dalam tiga fasa utama dakwaan pengubahan wang haram antara 2009 hingga 2013.

Shafee: Saya mencadangkan kepada kamu bahawa kamu mempunyai tafsiran yang salah (dari perlembagaan syarikat). Adakah kamu mengatakan bekas perdana menteri adalah maharaja 1MDB. Tanpa sebarang semak dan imbang?

Shahrol: Dalam kes fasa I, fasa II dan fasa III, saya harus mengatakan ya.

Shafee: Jadi beliau adalah maharaja 1MDB?

Shahrol: Ya.

Najib, 66, dibicarakan atas empat tuduhan penyalahgunaan kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dalam jumlah yang sama.

Pihak pendakwaan menuduh Najib berkomplot dengan ahli perniagaan yang kini dalam pelarian Low Taek Jho untuk menipu syarikat pelaburan negara itu.

Shahrol turut memberi keterangan bahawa Low yang mencadangkan Artikel 117 dimasukkan ke dalam memorandum dan artikel persatuan syarikat itu.

Pindaan itu memberi “kuasa mutlak” kepada perdana menteri dan mengatasi Perkara 9 (a), yang memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan.

Menurut saksi, Wong & Partners telah dirujuk untuk pindaan itu, dengan Brian Chia bertindak sebagai peguam utama.

Artikel 117 memberi Najib kuasa untuk membuat lantikan lembaga pengarah, membubarkan lembaga pengarah, menggaji atau memecat pengurusan kanan serta dasar dan pelaburan langsung selaras dengan kepentingan negara.

Saksi turut memberi keterangan bahawa hubungan peribadi Najib dengan pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah yang membawa kepada usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International pada 2009, yang dikatakan bernilai AS$2.5 bilion (kira-kira RM7.5 bilion ketika itu).

Sebagai sebahagaian daripada perjanjian, 1MDB akan membuat suntikan modal sebanyak AS$1 bilion bagi pegangan 40%.

Shahrol, 49, memberi keterangan bahawa beliau telah menandatangani tanpa mempersoalkan perjanjian usaha sama dengan entiti luar pesisir yang berpagkalan di Pulau Cayman dan  bukannya PetroSaudi International sebenar, menyebabkan AS$1 bilion dipindahkan kepada syarikat penipuan.

Shahrol memberitahu mahkamah, beliau didorong untuk mempercayainya oleh bekas pengarah eksekutif pembangunan perniagaan 1MDB Casey Tang Keng Chee bahawa PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd adalah syarikat yang betul.

Daripada AS$1 bilion yang sepatutnya disalurkan 1MDB kepada syarikat usahasama, AS$300 juta daripada dipindahkan ke JP Morgan (Suisse) SA yang memegang akaun bersama 1MDB yang dibuka bersama PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited di bawah nama JVCo.

Baki AS$700 juta lagi dimasukkan ke akaun milik Good Star Ltd, iaitu sebuah syarikat yang dikawal oleh Low.

Saksi itu menafikan beliau berkomplot dengan Low untuk menghalang audit kerajaan terhadap kewangan syarikat pelaburan negara pada tahun 2009 untuk menyembunyikan penyelewengan kewangan, termasuk AS$700 juta kepada Good Star.

Najib diwakili sepasukan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Perbicaraan bersambung esok. – 20 Oktober, 2019.

Iklan
Iklan