Iklan

Najib, Shafee fail afidavit ketepi Sri Ram ketuai pendakwaan

Bede Hong5 years ago25th Oct 2019Berita
Iklan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan pendengaran bagi permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Najib Razak dan peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah untuk mengenepikan Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes jenayah mereka ke bulan depan.

Hakim Mariana Haji Yahaya berkata pengurusan kes ditetapkan pada 28 November bagi membolehkan Najib dan Shafee serta Jabatan Peguam Negara memfailkan afidavit masing -masing.

Najib dan Shafee diwakili oleh peguam Sarah Malini Abishegam, manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili Jabatan Peguam Negara.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan Jabatan Peguam Negara atas keputusan yang membenarkan Najib dan Shafee memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar pelantikan Sri Ram.

Bekas perdana menteri dan peguamnya itu mencabar kesahihan pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya utama.

Sri Ram, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) melibatkan Najib.

Najib dan Shafee memfailkan semakan kehakiman secara berasingan pada Disember lalu untuk mencabar keputusan peguam negara melantik Sri Ram sebagai timbalan pendkawa raya utama mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah.

Kedua-dua mereka menamakan peguam negara/pendakwa raya, kerajaan dan Sri Ram sebagai responden.

Najib dan Shafee memohon mahkamah membatalkan pelantikan Sri Ram dengan mendakwa surat pelantikan bekas hakim itu tidak sah.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa terdapat konflik kepentingan berhubung pelantikan itu, dan memohon perintah menghalang Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes melibatkan mereka. Ini termasuk kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. – 25 Oktober, 2019.

Iklan
Iklan