Iklan

Malaysia pasca PRU14 adalah ‘bencana tak terbendung’, kata penganalisis

Lim teck ghee tmikamal 02
Hubungan kaum dan agama makin buruk, isu-isu pendidikan, tadbir urus dan pelbagai lagi tidak ditangani dengan baik oleh Pakatan Harapan, kata penganalisis dasar awam Lim Teck Ghee. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Oktober, 2019.
Iklan

SELEPAS Pilihan Raya Umum ke-14 Malaysia kini dalam situasi “bencana tak terbendung”, kata penganalisis dasar awam Lim Teck Ghee.

“Jelas sekali pasca PRU14 adalah bencana tak terbendung, dalam semua keadaan,” kata bekas pakar ekonomi Bank Dunia itu pada forum Whiter Maruah Malaysia 2.0 diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

“Pendidikan, tadbir urus, hubungan kaum, hubungan agama, kemelut Icerd, Zakir Naik, Kongres Maruah Melayu dan pelbagai lagi. Senarai kekecewaan dan kegagalan politik terus bertambah.

“Adakah kita kembali ke situasi buntu atau sebenarnya ia lebih buruk? Kita berdepan realiti yang tsunami (PRU14) sebenarnya bukanlah tsunami pun,” kata Lim, merujuk kepada terma digunakan banyak pihak untuk menggambarkan sokongan diterima PH sehingga berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pada Mei 2018.

Turut hadir pada forum itu adalah bekas pengerusi Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan, bekas ahli Parlimen Tawfik Ismail, ahli akademik Profesor Tajuddin Rasdi, Naib Presiden MCA Senator Ti Lian Ker, Pengerusi Jawatankuasa Orang Asli Majlis Peguam Siti Kasim, kolumnis Johan Ariffin Samad dan Adun Batu Lintang (PKR) See Chee How.

Lim berkata, sebelum ini beliau menyangka korupsi tahap tinggi dan jenayah ekonomi adalah antara legasi BN yang boleh dihapuskan dengan mudah.

“Saya mungkin silap. (Tetapi) Nampaknya semuanya kembali menghantui. Kerana itu terus wujud keperluan untuk ketidakpatuhan dan pemberi maklumat untuk terus muncul.

“Yang lebih sukar adalah dasar, program dan minda dikaitkan dengan Ketuanan Melayu dan Ketuanan Islam yang mana semua aparatus negara dan institusi kerajaan- pendidikan, media, entiti ekonomi, organisasi sosial, badan agama malah keluarga- digunakan untuk memikat khalayak tertawan.

“Potong giliran, guna nama, beri rasuah, menjilat, tak tetap pendirian, memuja gelaran, semua ini budaya yang terus berkekalan.”

Lim berkata usaha pembaharuan tidak boleh sekelip mata, menyifatkannya sebagai “maraton” yang memerlukan semua rakyat Malaysia untuk mencetuskan gelombang perubahan.

Beliau turut mengecam politikus, menambah yang walau apa sahaja keputusan pilihan raya akan datang, “kita perlu mengandaikan secara umumnya politikus adalah pekerjaan suka ambil kesempatan”.

“Apa yang mereka nampak hanyalah kerjaya, kembara ego diri, peluang untuk menyertai pihak yang boleh memberi manfaat melalui kedudukan mereka. Dan kita jumpa jenis ini di kedua-dua bahagian (kerajaan dan pembangkang).

“Ini bermaksud kita tidak boleh menuntut standard lebih tinggi atau optimis yang politikus kita akan buat kerja. Kita perlu buat sendiri. Berjuang untuk masa depan anak-anak kita dan hak dalam apa sahaja cara atau kita layak hilang semuanya.” – 25 Oktober, 2019.

Iklan
Iklan