Iklan

Kumpulan sivil yang kecewa perlu bentuk blok politik ketiga untuk Malaysia

Tajuddin rasdi tmikamal 01
Blok politik ketiga ini akan 'mengambil semula Malaysia' daripada politikus yang takut untuk perubahan, kata Tajuddin Rasdi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Oktober, 2019.
Iklan

KUMPULAN sivil yang kecewa dengan kekurangan usaha pembaharuan kerajaan Pakatan Harapan perlu membentuk blok politik ketiga untuk “mengambil semula Malaysia” pada pilihan raya umum akan datang, kata panel sebuah forum hari ini.

“Kita perlu membentuk gabungan calon bebas di bawah kumpulan sivil,” kata kolumnis dan profesor UCSI Tajuddin Rasdi pada forum “Whither Maruah Malaysia 2.0” di Kuala Lumpur hari ini.

“Gabungan sebegitu akan bekerjasama dengan parti-parti seperti PSM, MCA, MIC, Gerakan, parti dari Sabah dan Sarawak dan membentuk kuasa ketiga. Kumpulan sivil akan bertemu pemimpin (parti) ini tidak lama lagi.

“Gabungan ini akan bekerjasama dengan tiga parti Pakatan Harapan untuk mengambil semula Malaysia pada PRU15,” kata Tajuddin.

Tajuddin juga bercakap tentang usaha menangani kemelut antara kaum dan agama yang semakin hangat sekarang tetapi gagal ditangani kerajaan semasa.

“Kita perlu membentuk kumpulan masyarakat sivil yang akan menjawab sebarang serangan ke atas mana-mana kaum, agama atau kumpulan minoriti. Kita tidak boleh membenarkan mana-mana kumpulan kaum, agama atau minoriti bertindak bersendirian. Kita perlu jadi satu suara.

“Kita perlu hantar wakil rakyat kita sendiri (ke Parlimen). Kita perlu cari calon kita sendiri (untuk dipilih) sebagai wakil rakyat bagi menggantikan mana-mana parti pengkhianat atau wakil rakyat yang mengabaikan harapan dan aspirasi rakyat.

Turut hadir pada forum itu adalah bekas pengerusi Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan, ahli akademik Lim Teck Ghee, bekas ahli Parlimen Tawfik Ismail, Naib Presiden MCA Senator Ti Lian Ker, Pengerusi Jawatankuasa Orang Asli Majlis Peguam Siti Kasim, kolumnis Johan Ariffin Samad dan Adun Batu Lintang (PKR) See Chee How.

Jangan bergantung kepada politikus untuk perubahan, kata Siti Kasim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Oktober, 2019.

Sementara itu, Siti turut mengecam kerajaan semasa kerana usaha pembaharuan yang dilaksanakan berlaku dengan sangat perlahan.

Beliau menuduh pemimpin sekarang tidak berani melakukan pembaharuan kerana mereka asyik memikirkan masa depan mereka, sama ada akan dipilih rakyat lagi atau tidak.

“Jangan bergantung kepada politikus untuk berubah. Satu-satunya cara untuk berubah adalah menerusi gerakan rakyat. Tidak kira kaum, kita yang perlu melaksanakan perubahan.

“Kita perlukan kumpulan pendesak yang kuat untuk menekan kerajaan kita ke dalam hala tuju yang kita mahu untuk negara,” katanya, menambah yang NGO diasaskannya, Malaysian Action for Justice and Unity Foundation (Maju) sedang merekrut ahli.

“Kami sasarkan 100,000 ahli. Bayangkan apa yang kita boleh buat jika kita ada sejuta orang,” tambahnya. – 25 Oktober, 2019.

Iklan
Iklan