‘Kerajaan pintu belakang’ bukan hasrat rakyat, kata MCA
Iklan
KERAJAAN pintu belakang bukanlah hasrat rakyat Malaysia ketika mereka turun mengundi pada pilihan raya umum lalu, kata Naib Presiden MCA Ti Lian Ker.
Bagaimanapun, tambahnya, pengundi berhak untuk perubahan sekiranya kerajaan yang dipilih gagal melunaskan janji pilihan raya mereka.
“Jika kerajaan diundi berasaskan janji dan janji itu dipenuhi, maka sebarang peralihan atau kerajaan pintu belakang adalah bertentangan dengan hasrat pengundi yang memilih mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight selepas forum “Whither Maruah Malaysia 2.0” petang tadi.
“Tetapi, jika kerajaan dipilih berdasarkan janji gagal memenuhinya, maka ia memberikan peluang dan ruang untuk wakil terpilih menyemak semula kedudukan mereka dalam kerajaan dan berniat untuk membentuk pakatan atau kerajaan baharu,” tambah Ti.
Beliau bagaimanapun berkata perhatian perlu diberikan kepada dasar berbanding asyik dengan spekulasi siapakah dalang yang berusaha memastikan pembentukan kerajaan pintu belakang.
Spekulasi itu tercetus apabila wujud ura-ura pembentukan “kerajaan pintu belakang” tanpa Amanah dan DAP serta menghalang Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.
Jelas Ti, Malaysia mengamalkan sistem dua parti dengan dua blok politik dan tidak ada parti boleh membentuk kerajaan tanpa bantuan parti lain.
“Rakyat tidak diberikan hak untuk mengundi atas dasar, mereka hanya mengundi untuk bahagian politik,” katanya.
Apabila rakyat memilih kerajaan sekarang, mereka berbuat demikian untuk lari daripada politik kaum dan agama, yang sebenarnya adalah pegangan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini, tambahnya.
“Konsep Barisan Nasional adalah kita akui dan hormat perbezaan sesama kita. Kita duduk berbincang dan hasilkan konsensus tolak ansur. Itu adalah amalan ketika itu. Itu adalah amalan asal tetapi entah mengapa ia dijarah menjadi dasar dominan kaum tertentu,” katanya.
Jelasnya lagi, sistem dua parti yang ideal menghendaki satu blok menjadi liberal dan inklusif dan satu lagi menjadi konservatif.
Menurutnya lagi, walaupun BN bergerak atas dasar kaum dan agama, ahli-ahlinya masih boleh mencapai konsensus.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa kerana pemimpin PH gagal melunaskan janji pilihan raya mereka.
“Saya fikir ia sangat tidak menghormati etika politik dan adab asas pemimpin politik. Manifesto awak adalah janji yang perlu ditunaikan,” katanya.
Kesukaran PH menunaikan janji itu turut diakui Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad awal bulan ini, apabila berkata pemerintah terjerat dengan janjinya sendiri kerana ia sukar dilaksanakan.
“Sebenarnya, kami ingat kami akan kalah, jadi kami letak perkara-perkara yang susah (untuk direalisasikan) dalam manifesto, supaya jika kami kalah, kerajaan (lama) akan terperangkap,” katanya. – 25 Oktober, 2019.