Iklan

PKR terima Salleh Keruak, kata sumber

The Malaysian Insight5 years ago27th Oct 2019Berita
Salleh keruak 070917 tmiseth 05
Antara tarikh yang dipertimbangkan untuk mengumumkan penyertaan Salleh Said Keruak adalah sewaktu kongres PKR Sabah pada Isnin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2019.
Iklan

PERMOHONAN bekas menteri Umno Salleh Said Keruak untuk menyertai PKR sebenarnya sudahpun diluluskan, kata sumber yang rapat dengan pemimpin tertinggi parti.

Antara tarikh yang dipertimbangkan untuk mengumumkan penyertaan Salleh adalah sewaktu kongres PKR Sabah pada Selasa, menurut sumber tersebut,

“Biro politik pada mesyuarat Jumaat lepas (18 Oktober) telah terima (luluskan) permohonan Salleh tetapi tarikh umum belum ditentukan.

“Mungkin juga akan diumumkan dalam kongres PKR Sabah pada 29 Oktober ini,” kata sumber yang enggan dinamakan itu lagi.

Satu lagi sumber yang dekat dengan Salleh juga mengesahkan permohonannya diterima oleh PKR.

“Permohonan sudah terima. Cuma tunggu masa hendak diumumkan,” kata sumber tersebut yang juga enggan namanya disebut.

Namun seorang anggota biro politik PKR menafikan bahawa permohonan Salleh diterima oleh jawatankuasa tersebut dalam mesyuarat terbaharu dipengerusikan Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Dalam perbincangan kita memang dimaklumkan mengenai permohonan Salleh Keruak. Tetapi  biro politik memutuskan untuk tangguh dulu keputusan Salleh atas beberapa sebab.

“Memang keputusan biro politik yang dipengerusikan Wan Azizah waktu itu kita tangguhkan dulu untuk permohonan Salleh,” katanya.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil juga berkata parti masih belum memutuskan untuk menerima permohonan Salleh.

“Belum ada keputusan,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Presiden PKR Anwar Ibrahim juga semalam mengumumkan parti itu belum lagi membuat keputusan ke atas permohonan Salleh.

Menurutnya, PKR masih lagi mendapatkan pandangan pimpinan parti di peringkat cabang dan negeri Sabah mengenai penyertaan bekas menteri Umno itu.

“Belum dibawa (untuk kelulusan). (PKR) bincang tapi kita selalu tanya cabang, negeri, ada yang setuju, ada juga yang bagi pandangan tetapi kita dengar semua,” kata Anwar kepada pemberita.

Kenyataan berkenaan timbul susulan pengumuman PKR Sabah pada Jumaat yang mengalu-alukan penyertaan bekas ketua menteri Sabah tersebut ke dalam parti.

Pengerusi PKR Sabah Christina Liew dalam satu laporan menyebut, Salleh diterima masuk ke dalam parti itu jika sanggup mengenepikan prinsip Umno.

Imej tangkap layar menunjukkan kelulusan permohonan keahlian atas talian Salleh tersebar sejak minggu lalu.

Imej menunjukkan status “Diluluskan” itu turut memaparkan nombor keahlian yang didakwa didaftarkan pada 25 Ogos.

Salleh yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kota Belud dalam Pilihan Raya Umum ke-14 meninggalkan Umno bersama sebahagian besar pemimpin parti tersebut di Sabah pada Disember tahun lalu.

Bekas menteri penerangan dalam Kabinet Najib Razak itu merupakan penyokong kuat bekas perdana menteri tersebut termasuk dalam menjelaskan tuduhan mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad. – 27 Oktober, 2019.

Iklan
Iklan