Shafie tiba di kompleks mahkamah Kota Kinabalu
Iklan
PRESIDEN Warisan Shafie Apdal tiba di perkarangan mahkamah Kota Kinabalu pada jam 2.20 petang tadi dengan diiringi anggota polis untuk mendengar permohonan reman terhadapnya.
Bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah itu yang menyambut ulang tahun ke-60 hari ini tidak memakai pakaian reman kerana beliau baru saja keluar dari hospital Queen Elizabeth kira-kira 30 minit sebelum itu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Shafie selepas beliau memberi keterangannya berkaitan siasatan agensi itu terhadap penyelewengan RM1.5 bilion dana persekutuan ketika beliau menjadi menteri kementerian berkenaan.
Beliau ditahan selepas hampir empat jam disoal siasat di pejabat SPRM di Kota Kinabalu.
Tidak lama selepas ditahan, beliau dimasukkan ke hospital kerana tekanan darah tinggi, lewat malam tadi.
Di luar mahkamah, penyokong Warisan kelihatan berkumpul dan membawa kain rentang ucapan selamat hari jadi kepada Syafie.
Selain laungan “Ubah Sabah”, penyokong Shafie turut menyanyikan lagu selamat hari jadi untuknya.
Turut kelihatan bersama Shafie ketika tiba di mahkamah ialah setiausaha agung Warisan Loretto Padua Jr dan timbalan presiden Darell Leiking. – 20 Oktober, 2017.