Kesatuan pekerja bank mohon ketepi Pengerusi Mahkamah Industri enggan guna Bahasa Malaysia
Iklan
KESATUAN Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) memfailkan satu afidavit bagi mengetepikan seorang pengerusi Mahkamah Industri di Johor berikutan pertikaian berhubung penggunaan Bahasa Malaysia dalam prosiding mahkamah.
NUBE dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa ia akan memfailkan notis pengunduran terhadap pengerusi Mahkamah Industri Johor Baru, Sumathi Murugiah tidak lama lagi.
NUBE mendakwa bahawa Sumathi bersikap berat sebelah terhadap peguam kesatuan Shariffudin Hassan.
Shariffudin mewakili ahli kesatuan Mohd Azrin Mohd Amin yang memfailkan kes terhadap Public Bank Berhad berhubung pemecatan beliau.
Semasa sidang pertama perbicaraan pada 23 Oktober, Shariffudin mendakwa Sumathi bertindak tidak adil dengan tidak memberikan masa kepada NUBE untuk memberikan surat pelantikan kepada salah seorang pegawainya, Evelyn Chan.
Chan telah membantu Shariffudin kerana beliau tidak fasih dalam berbahasa Inggeris sementara Sumathi memutuskan bahawa perbicaraan itu akan diteruskan dalam bahasa itu.
Walaupun mereka tidak dapat menyediakan surat tersebut, Sumathi memutuskan bahawa perbicaraan itu akan diteruskan dan Chan diarahkan untuk duduk di galeri awam dan bukan sebagai wakil plaintif, Azrin.
“Saya kemudian membantah ketika perbicaraan berjalan dan berkata Sumathi harus menarik diri daripada mendengar kes ini kerana dia bertindak tidak adil,” kata Shariffudin dalam afidavitnya.
“Saya mengulangi bahawa Sumathi tidak adil apabila tidak membenarkan waktu yang munasabah bagi saya bagi mendapatkan surat lantikan daripada NUBE untuk Evelyn bagi membantu saya dalam kes ini.
“Sumathi ingin meneruskan pendengaran dalam bahasa Inggeris walaupun saya mengatakan bahawa saya hanya fasih dalam Bahasa Malaysia.”
Menurut afidavit, pada sidang terdahulu pada bulan Julai, Sumathi meminta Shariffudin untuk membuat soal balas terhadap saksi dari Public Bank dalam Bahasa Inggeris kerana kenyataan terakhir saksi dalam bahasa Inggeris.
Oleh kerana Shariffudin tidak dapat berbahasa Inggeris dengan lancar, Sumathi kemudian mencadangkan Chan membantu beliau melakukan pemeriksaan balas. Perbicaraan tidak dapat diteruskan dan dijadualkan semula pada 23 Oktober.
Shariffudin berkata beliau melaporkan kejadian tersebut kepada NUBE dan Majlis Penasihat Buruh Nasional (NLAC).
Apabila perbicaraan berlangsung pada 23 Oktober, seorang pegawai mahkamah memberitahu Shariffudin bahawa Sumathi mahu surat lantikan daripada NUBE, yang menyatakan Chan sebagai pembantunya.
Walaupun mereka tidak dapat menyediakan surat lantikan tersebut, Sumathi memutuskan untuk meneruskan pendengaran.
“Saya terkejut kerana dalam pendengaran kes pertama, Sumathi membenarkan Evelyn membantu saya dan tidak meminta sebarang surat pelantikan.”
Shariffudin kemudiannya mengumumkan bahawa beliau akan memfailkan afidavit untuk mengetepikan Sumathi dan berpendapat bahawa perbicaraan tidak boleh diteruskan sehingga keputusan mengenainya diputuskan.
Pada masa itu Sumathi berkata beliau akan merakamkan bantahan itu, sambil menambah, “Mengapa kamu masih di sini? Sila tinggalkan bangku anda. Kes akan diteruskan dengan atau tanpa wakil kesatuan!”
Shariffudin, Chan dan Azrin kemudiannya meninggalkan pendengaran mahkamah tersebut. – 27 Oktober, 2019.